Tampil Solo, Noh Salleh Ulas Status Bersama Hujan



Vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh, baru-baru ini telah melancarkan single terbaru ‘Angin Kencang’ di mana ia merupakan penampilan Noh sebagai penyanyi solo. Lagu ini sudah mula dimainkan di corong radio. Bagaimanapun, Noh tidak mengetahui bagaimana penerimaan peminat terhadap lagu tersebut memandangkan perhatian dan fokusnya tertumpu pada berita kehilangan pesawat MH370.

“Isu MH370 ini begitu besar sehingga saya tak ambil pusing tentang ‘Angin Kencang’. Saya sendiri tak tahu kalau lagu tersebut sudah dimainkan di radio dan bagaimana penerimaan peminat terhadap lagu tersebut,” kongsi Noh.

Dalam perkembagan lain, Noh telah menandatangai perjanjian bersama syarikat rakaman Sony Music di mana syarikat tersebut bertanggungjawab mempromosi dan mengedarkan album solo Noh yang memuatkan lima buah lagu.




“Saya gembira dengan kerjasama ini kerana saya menganggap Sony Music merupakan sebuah syarikat yang mengamalkan ‘teamwork’. Saya nampak cara mereka bekerja seperti sebuah keluarga,” kata suami kepada Ratu Hip Hop, Mizz Nina ini.

Bercakap mengenai perjalanan kerjaya Noh bersama Sony Music, pengurus Noh, Joe Saiful berkata, Noh bakal terbang ke Amsterdam dan Paris bagi menjalani penggambaran muzik video ‘Angin Kencang’. Selain itu, lagu tersebut juga bakal menjadi lagu tema buat program ‘Romantika’ terbitan Astro.

“Beberapa perancangan telah dibuat bagi mempromosikan single terbaru Noh. Bahkan album penuh Noh juga dijangka bakal dipasarkan sekitar bulan Mei. Noh dan beberapa artis naungan Sony Music juga bakal mengadakan sesi jelajah di empat buah negeri seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor dan Terengganu pada bulan April sehingga September depan,” kata Joe.

Jika sebelum ini Noh dikenali menerusi kumpulan Hujan, kemudian dia dan beberapa rakannya telah menubuhkan sebuah projek khas yang diberi nama Da Vagabonds, kini Noh muncul pula dengan album solo. Namun Noh menegaskan kumpulan Hujan masih kukuh dan kumpulan itu bakal mengadakan konsert solo pertama pada tahun hadapan bagi meraikan ulangtahun ke-10 Hujan.

“Saya masih bersama kumpulan Hujan. Bagaimanapun, fokus saya untuk tahun ini adalah album solo saya. Tahun depan kami kumpulan Hujan akan mengadakan sebuah konsert bagi meraikan ulangtahun ke-10,” ujar Noh mengakhiri bicara.

Previous Post Next Post