Terminator sambung lagi


BABAK menarik dalam Rise of The Machines.

Berita baik buat peminat Terminator kerana Arnold Schwarzenegger bakal muncul semula dalam sekuel terbaru filem itu yang dijangka menemui penonton pada Julai tahun depan.

Usianya yang sudah mencecah 66 tahun dianggap bukan penghalang kepada pelakon itu untuk memegang watak sebagai robot pembunuh bergelar Terminator dalam sekuel kelima berjudul Terminator: Genesis.

Kali terakhir pelakon itu muncul sebagai robot T-800 pada 2003 dalam filem Terminator: Rise of the Machines.

Memulakan penggambaran pada bulan depan, Schwarzenegger kembali sebagai robot pembunuh yang sudah berusia, sesuai dengan keadaannya sekarang.




Mengulas mengenai lakonannya dalam filem Terminator: Genesis, pelakon yang juga bekas Gabenor California itu berkata, terdapat beberapa perubahan dilakukan untuk sekuel kali ini.


“Pembikinan filem itu lebih mencabar kerana akan diarahkan pengarah baru selain sarat dengan aksi,” katanya yang juga adalah atlit bina badan.

Schwarzenegger tidak menafikan faktor usia yang semakin meningkat juga antara cabaran bakal dihadapinya kerana sukar melakukan babak aksi lasak.

“Pada usia 66 tahun, saya kadangkala susah melakonkan babak aksi seperti ini, berbeza ketika saya berusia 30-an,” katanya.

Berikutan itu, pelakon kelahiran Austria berkenaan mendedahkan karakter robot pembunuh Terminator kali ini boleh menjadi tua seperti manusia.

“Terminator adalah robot yang rangka badan diperbuat daripada besi manakala bahagian luaran kulit manusia.

“Kulit Terminator akan melalui proses penuaan seperti manusia biasa, namun mungkin tidak begitu cepat,” katanya.

Tambah Schwarzenegger lagi, Terminator banyak merentas masa dan penonton berpeluang menyaksikan kemunculan robot T-800 yang lebih muda dalam filem itu.

“Akan ada beberapa babak menarik dalam filem itu, antaranya apa akan terjadi selepas robot T-800 yang muda itu diprogram semula dan siapa akan menewaskannya,” katanya.

Sementara itu, pelakon berkenaan mendedahkan, dia kecewa kerana tidak berlakon dalam Terminator Salvation pada 2009 berikutan pada ketika itu masih berkhidmat sebagai Gabenor California.

“Saya sedih dan hampir menangis kerana tidak dapat berlakon dalam sekuel keempat itu. Bagaimanapun saya berkata, 'akan kembali lagi' dan sekuel kali ini pasti lebih menarik,” katanya.

Dalam filem Terminator Salvation, Schwarzenegger hanya muncul dalam satu babak menerusi teknik kesan visual CGI dan Christian Bale memegang watak utama filem itu.

Difahamkan Terminator: Genesis akan diarahkan oleh Alan Taylor yang pernah mengarah filem Thor: The Dark World.

Selain Schwarzenegger, barisan pelakon yang diumumkan akan membintangi filem itu adalah Jason Clarke sebagai John Connor, Emilia Clarke (Sarah Connor) dan Jai Courtney (Kyle Reese).

Schwarzenegger berusia 37 tahun ketika memegang watak utama sebagai cyborg pembunuh dalam filem pertama The Terminator arahan James Cameron pada 1984.

Berikutan kejayaan filem pertama, tiga lagi sekuel dihasilkan iaitu Terminator 2: Judgment Day (1991), Terminator 3: Rise of the Machines (2003) dan Terminator Salvation (2009). Selain itu, Terminator turut diterbitkan dalam siri televisyen pada 2008 berjudul The Sarah Connor Chronicles.

Selain Terminator: Genesis, Schwarzenegger akan muncul dalam filem Sabotage yang akan ditayangkan pada hujung bulan ini.
Previous Post Next Post