Yuka Kharisma Terjebak Dalam Cinta Tiga Segi



Penyanyi Indonesia yang kini sedang merencana perjalanan karier seni di Malaysia, Yuka Kharisma menjelaskan yang dia telah terjebak dalam cinta tiga segi bersama dua orang jejaka. Yuka mendedahkan perkara itu dalam satu pertemuan bersama ARTISMELETOP.

“Saya terjebak dalam cinta tiga segi. Saya kini sudah punyai teman hidup, namun saya masih teringat kepada mantan kekasih saya. Bukan mudah untuk melalui. Mujur ia bukan realiti, sebaliknya hanya lakonan semata-mata untuk muzik video lagu terbaru saya, ‘Dengan Tiada Luka’, ciptaan Azlan Abu Hassan dan Shah Shamshiri.

Muzik video tersebut adalah hasil sentuhan pengarah terkenal, Virginia Kennedy. Sebelum ini Virginia pernah menghasilkan muzik video seperti ‘Awan Yang Terpilu’, ‘Impak Maksima’, ‘Kini Kau Tiada’ dan banyak lagi,” ujar Yuka memulakan bicara.




Menceritakan pengalaman Yuka dalam menghasilkan muzik video tersebut, gadis kelahiran Acheh ini menjelaskan yang dia menjalani banyak latihan sebelum memulakan penggambaran. Mengakui yang dirinya tidak pandai berlakon, dia berterima kasih kepada Virginia kerana memahami keadaan dirinya yang agak kekok untuk berlakon dalam muzik video.

Yuka yang merupakan bekas peserta Indonesian Idol 2008 ini juga berbakat dalam bidang penghasilan lagu. Boleh bermain piano dengan baik, setakat ini Yuka telah ada 40 lagu hasil ciptaannya sendiri. Namun begitu, untuk salam perkenalan kepada industri muzik Malaysia, Yuka berkolaborasi bersama komposer Azlan Abu Hassan, lalu terhasillah ‘Dengan Tiada Luka’.

“Langkah perjalanan saya dalam melebarkan sayap karier di Malaysia semakin lama semakin baik. Saya harap saya dapat diterima di sini dan untuk menghiburkan rakyat Malaysia. Saya mempertaruhkan bakat dan kebolehan saya dalam bidang muzik.
Walaupun tidak dinobat sebagai juara dalam program Indonesian Idol dahulu, saya rasa cukup bertuah dan beruntung apabila saya boleh memulakan karier nyanyian di Malaysia. Semoga saya terus boleh berkarya dalam bidang muzik, tidak kiralah dalam bidang nyanyian atau pun bidang penghasilan lagu,” ujar Yuka lagi.



Saat ditanya adakah dia tidak takut peminat muzik di Indonesia mempertikaikan kehadirannya dalam berbakti pada lapangan muzik di Malaysia berbanding tanah air sendiri, Yuka punyai jawapan bagi persoalan itu.

“Saya percaya, dunia kini adalah tanpa sempadan. Jadi saya rasakan, tiada masalah untuk itu kerana saya boleh sentiasa berhubung dengan peminat saya di Indonesia walaupun saya berada di sini. Malah saya juga rasakan mereka menyokong hasrat saya untuk memulakan karier nyanyian saya di sini,” ujar Yuka mengakhiri bicara.
Previous Post Next Post