Ziana Zain Tidak Puas Hati Dengan Persembahan Di Konsert Teaterikal Suara Kita



Penyanyi yang popular menerusi lagu ‘Dingin’, Ziana Zain menjelaskan yang dia masih belum puas hati dengan persembahannya di samping Awie dan Erra Fazira di ‘Konsert Teaterikal Suara Kita’ yang sedang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya sejak 3 Mac lalu.

“Bercakap pasal soal puas hati, saya rasakan masih lagi tidak berpuas hati dengan persembahan yang saya tampilkan pada malam ini. Saya rasa nak buat lebih baik lagi. Walaupun kadang-kadang ada peminat yang datang dan memuji, namun begitu saya tetap merasakan saya perlu berikan yang lebih baik untuk persembahan seterusnya. Walau bagaimanapun, syukur persembahan malam ini berjalan lancar,” jelas Ziana ketika ditemui usai ‘Konsert Teaterikal Suara Kita’ di Istana Budaya pada Isnin.

‘Konsert Teaterikal Suara Kita’ merupakan pembabitan pertama Ziana di pentas berprestij Istana Budaya. Setelah sekian lama tidak digandingkan bersama-sama bersama Awie dan Erra, ‘Konsert Teaterikal Suara Kita’ bagaikan satu lembaran baru bagi mereka menggamit semula memori manis ketika awal pembabitan mereka dalam bidang lakonan.




“Ini merupakan penglibatan sulung saya di pentas teater. Baru sekarang saya tahu dan faham, bagaimana susahnya untuk berlakon teater. Saya perlu mengimbangi antara nyanyian dan lakonan. Mana nak menyanyi, mana nak berlakon lagi. Rasa macam terkejar-kejar tetapi ianya merupakan satu pengalaman yang sangat baik dan baru untuk saya,” tutur Ziana lagi.

“Bagi saya, untuk pementasan pertama di malam ini adalah sesi pembelajaran untuk malam seterusnya. Kalau nak diikutkan, pada awalnya saya rasa sangsi, boleh atau tidak saya laksanakan tanggungjawab yang diberikan?

Namun begitu, saya tengok semangat kawan-kawan saya sendiri, saya rasa teruja. Alhamdulillah, semuanya dalam keadaan yang baik-baik sahaja, jadi saya harus kekalkan momentum. Saya hanya mahu memberikan yang terbaik kepada barisan peminat yang selama ini tidah berhenti menyokong,” kata pelantun lagu ‘Anggapanmu’ ini.

Konsert Teaterikal Suara Kita’ yang berlangsung dari 3 Mac sehingga 9 Mac menampilkan persembahan hebat dari Ziana Zain, Awie dan Erra Fazira. Menggabungkan unsur nyanyian dan lakonan, barisan peminat yang hadir dapat mengenang semula memori manis mereka ketika menyaksikan babak-babak filem lakonan mereka dahulu yang dipentaskan semula di Istana Budaya. Layari www.ticket2u.biz untuk urusan pembelian tiket.
Previous Post Next Post