Ziela Jalil Seronok Mengacara



Mengacarakan rancangan Primadona musim pertama memberi variasi baru pada kerjaya seni Norzilah Abdul Jalil atau Ziela. Menjadi penerbit dan Pengarah Urusan Pena Creative tidak pernah menghalangnya untuk mencuba sesuatu yang baru.

Ternyata percubaan kali pertama mengacara Primadona dan digandingkan dengan aktres popular iaitu Raja Azura, Erra Fazira dan Rozita Che Wan membuatkan pelakon yang mula mencipta nama sekitar 1980-an menerusi filem Mr Os dan Perawan Malam itu jatuh cinta dengan bidang terbabit.


Kerjaya Ziela sebagai pengacara tidak bertahan lama apabila namanya tidak disenaraikan produksi Primadona disiarkan Astro Prima apabila mereka mengambil keputusan bersiaran secara langsung.

Begitupun, Pengurus Saluran Astro Prima, Namanzee Harris sebelum itu menjelaskan, penerbit drama dan aktres itu bakal mengendalikan program lain yang sesuai dengan penampilannya yang berhijab.





Menepati janji dibuat, ibu kepada tiga cahaya mata itu dilamar Astro mengendalikan program terbitan Indigital Sdn Bhd, Musykil Muslimah (MM) yang akan ke udara bermula 12 Mei depan, menerusi Astro Oasis.


Ditemui di sesi rakaman yang diadakan di N’dah Catering & Wedding Planner, Shah Alam, Selangor, Ziela menyifatkan pengguguran namanya sebagai pengacara rancangan Primadona sebelum ini ada rahmatnya. “Sebaik menerima tawaran daripada Indigital untuk mengendalikan program Musykil Muslimah, saya berasa seronok, apatah lagi ia diterbitkan untuk siaran Astro Oasis. Saya difahamkan, sebagai pengacara, banyak batas harus dijaga dari sudut berpakaian dan pemakaian tudung.

“Walaupun berfesyen, saya tidak harus melanggar batas. Saya tidak ada masalah untuk mematuhi syarat diberi kerana ia sesuai dengan penampilan saya sekarang.


“Sepanjang empat hari proses rakaman dijalankan, saya sempat mengambil gambar dan muat naik di laman sosial Instagram. Ternyata banyak maklum balas positif diterima,” katanya.



Mengendalikan rancangan Musykil Muslimah sebanyak 13 episod, jelas Ziela, banyak ilmu diperoleh, apatah lagi ia membincangkan perihal kecantikan dan penampilan wanita pada zaman moden. “Tidak dinafikan, walaupun teruja kembali mengacara dan mengendalikan program keagamaan yang memang saya suka, perasaan gementar tetap ada. Tambahan pula ia membabitkan isu dan hukum menurut Islam.


“Program bual bicara ini banyak menyampaikan fakta, jadi sebagai pengacara, saya tidak boleh pandai-pandai menokok-nambah.


“Perlakuan juga harus dijaga, termasuk sewaktu mengendalikan rancangan ini supaya perbincangan dilihat tidak keterlaluan. Lagipun, konsep rancangan Musykil Muslimah adalah berkongsi ilmu bagaimana mahu menjadi muslimah sejati,” katanya. Jelas Ziela, pengacara Musykil Muslimah hanya menjadi penghubung kepada pengisian dan pakar jemputan adalah ustazah dan ustaz bertauliah yang mempunyai pengetahuan luas dalam fiqah wanita. “Program ini mengetengahkan konsep soal jawab mengenai topik rutin kecantikan dan fesyen terkini serta hukumnya dalam Islam. Ustazah dan ustaz pula memberi penjelasan secara mendalam.


“Setiap persoalan dibangkit diperjelaskan hinggakan saya sebagai pengacara mendapat banyak pengetahuan. Saya percaya penonton akan berasakan perkara sama apabila menontonnya nanti,” katanya.


Kata Ziela, sepanjang rakaman, tidak terasa seperti mengendalikan program televi- syen, sebaliknya umpama menghadiri kelas agama. Tambahnya, dinilai dari sudut itu, dia yakin penonton, terutama wanita, boleh menjadikan program ini sebagai rujukan dan panduan. Apatah lagi sesi soal jawab dilakukan dalam suasana santai dan mudah difahami. Lebih menarik, Musykil Muslimah turut menampilkan segmen khas, sunnah Rasulullah SAW. Penerbit dan Pengarah Indigital Sdn Bhd, Rozalina Mohamad Rom pula menjelaskan, Musykil Muslimah adalah pro- gram soal jawab wanita Islam pertama mengetengahkan soal amalan kecantikan, membentuk personaliti dan fesyen yang menepati syariat dan hukum.


“Kami menjemput penceramah yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang ini seperti Ustazah Zawiah Hassan, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki dan Ustaz Ahmad Faw- waz Ali. Kebanyakan wanita Islam di Malaysia mengikuti perkembangan fesyen dan amalan kecantikan.


“Namun ada amalan dilakukan itu dikatakan bertentangan dengan ajaran Islam, melanggar syariat dan haram kerana berlebih-lebihan dalam cara bertudung, beribadat, pergaulan mahupun bersolek. “Tujuan Indigital Sdn Bhd menerbitkan program ini adalah untuk memberi pencerahan terhadap persoalan mengenai topik dibentangkan,” katanya. Setiap minggu, judul isu ditampilkan juga menarik seperti Hijab Bonggol Unta, Bersolek Untuk Gaji, Salam Jaga Air Muka, Telekung Red Carpet, Tudung Tokcang Sanggul Limau, Ikal Mahkota Durjana, Mulus Tanpa Was-Was, Kuku Gincu Cina, Haram ke Susuk Moden?, Alis Kening Pisau Blade, Telan Untuk Gebu, Atas Tutup Bawah Tayang dan Cantik Dalam Islam.


Ia diharapkan mampu dijadikan panduan buat semua Muslimin.
Previous Post Next Post