Alif Satar Akhiri Penantianku Tragis


Alif Satar mengambil masa agak lama untuk keluar dengan produk baharu.

ALIF Satar adalah satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi di persada seni muzik tanah air dek kerana bakat nyanyiannya yang semula jadi, serta karakternya yang bersahaja tatkala menguasai mana-mana pentas persembahan.

Bukan itu sahaja, lagu-lagu dendangannya juga mudah melekat di telinga peminat muzik tempatan disebabkan Alif bijak memilih lagu yang bersesuaian dengan vokal serta perwatakannya yang gila-gila.

Terkini, single baharunya berjudul Akhiri Penantianku kembali menyegarkan nama Alif sebagai salah seorang penyanyi lelaki tempatan memandangkan dia mengambil masa agak lama untuk keluar dengan produk terbaharu selepas kali terakhir pada 2011.

Mengulas mengenai single yang mendapat perhatian ramai itu, ia adalah sebuah lagu pop berentak perlahan serta liriknya bertemakan sebuah percintaan tragis penuh khianat hasil ciptaan sepenuhnya Zimi Sofazr.




Single yang turut dikeluarkan dengan klip video muziknya itu berjaya meraih 120,000 tontonan, suatu angka yang boleh dibanggakan dalam tempoh dua bulan dimuat naik di YouTube.



Menariknya, klip tersebut begitu ironi untuk ditonton dengan kisah penceritaan cinta tidak berbelah bahagi seorang jejaka terhadap kekasihnya yang dilihat begitu lembut dan ayu, tetapi akhirnya dikhianati dengan tragis.

Kesan khas visual yang menjadi kekuatan klip tersebut memberi impak yang tersendiri dalam setiap babak yang dipaparkan, ditambah pula dengan lakonan pelakonnya termasuk Alif yang dilihat neutral dan tidak melebih-lebih.

Cuma sedikit 'cela' apabila darah yang keluar daripada mulut Alif agak jelas kepalsuannya, namun ia adalah isu kecil yang boleh dipandang sebelah mata.

Teknik pergerakan lensa kamera yang melambangkan 'mata' Alif juga menyuntik kelainan dan warna latar yang tidak begitu terang juga melambangkan kesamaran cinta yang berlaku dalam kisah yang dipersembahkan.

Secara keseluruhan, idea yang ditonjolkan menerusi klip ini agak segar kerana jarang dipertontonkan kepada audiens dan pujian harus diberikan kepada semua kru produksi.
Previous Post Next Post