Ashraf Bahagia Bersama Bunga


Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestari

SAMA cantik sama padan, itulah perkataan paling sesuai digunakan untuk menggambarkan pasangan suami isteri romantis, Ashraf Sinclair dan Bunga Citra Lestari (BCL).

Berasal dari negara yang berbeza tidak menjadi halangan buat mereka mencipta serasi dan saling memahami, apatah lagi budaya Malaysia dengan Indonesia tidak banyak beza.

Justeru tidak menjadi masalah buat aktor kacak ini bersama isterinya untuk kerap berulang ke Malaysia, walaupun kebanyakan waktu dihabiskan di Indonesia.




Bagaimanapun lumrah menjadi selebriti, Ashraf juga tidak terlepas dari dikritik sesetengah pihak yang menyifatkannya ‘lupa daratan’ setelah dia dilihat lebih sebati dengan bahasa dan budaya negara kelahiran isterinya kini.

Tampil menjawab kenyataan tersebut, Ashraf mengibaratkan situasinya seperti pepatah Melayu, 'masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak' kerana perlu menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.

“Sudah tujuh tahun saya menetap dan bekerja di Indonesia, orang di sana jarang bercakap dalam bahasa selain Indonesia, boleh kata Bahasa Inggeris pun mereka jarang gunakan.

“Jadi tak timbul soal saya lupakan Bahasa Melayu atau negara sendiri sebab saya cuma sesuaikan diri dengan keadaan. Anggaplah saya cuma telah mempelajari bahasa baharu untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian,” jelasnya.

Bersetuju dengan suaminya, Bunga menjelaskan kerjaya Ashraf sebagai pelakon sinetron membuatkan suaminya perlu lancar dalam Bahasa Indonesia dan bertutur dengan kerap dalam bahasa tersebut.

“Ashraf menjalani penggambaran setiap hari, episod sinetron pula biasanya mencecah 700 hingga beribu-ribu episod. Di rumah kami ada pembantu rumah Indonesia, jadi sudah tentu Ashraf lebih sebati dengan bahasa itu kerana perlu sentiasa menggunakannya.

“Di Malaysia, orang selalu bertutur dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, tapi di Indonesia cuma ada Bahasa Indonesia. Tapi, cuba letak Ashraf sehari sahaja di Kuala Lumpur, balik Indonesia pasti dia sudah kembali bingung untuk cakap Bahasa Indonesia,” kata Bunga sambil berseloroh.

Ketika ditanya adakah Ashraf ingin kembali berlakon di Malaysia, Ashraf menjawab kesempatan tersebut akan diambil dengan gembira jika ada tawaran yang bersesuaian.

“Saya suka dan rindu untuk berlakon di Malaysia lagi. Sama ada ditawarkan berlakon seorang atau dengan Bunga, saya akan pertimbangkan jika peluang itu datang pada masa yang sesuai.

“Paling penting, saya boleh menjiwai watak yang diberikan. Dan biarlah tawaran lakonan itu sesuatu yang penting dan bermakna supaya saya boleh tinggalkan impak yang baik kepada penonton,” ujar Ashraf.

Sama seperti Ashraf, Bunga juga tidak akan menolak tawaran kerjaya seni di Malaysia jika diberikan.

“Malaysia dan Indonesia sangat dekat, kami sudah membeli rumah di Malaysia jadi senang untuk berulang-alik ke sini. Dan kalau ada pihak yang memberi peluang yang baik kepada kami, kami ingin tinggal di Malaysia lebih lama, mungkin sehingga dua tiga bulan,” kata pelantun lagu popular, Ingkar ini.


Rahsia kehangatan cinta

Siapa sangka, usia perkahwinan Ashraf dan Bunga sudah menjangkau enam tahun, namun mereka masih kelihatan seperti pasangan kekasih yang sedang hangat bercinta.

Dalam pertemuan majlis pelancaran New Lux Classic Collection Fine Fragrances di Sunway Resort Hotel & Spa Khamis lalu, pasangan yang menjadi duta produk wangian ini mendedahkan rahsia keintiman hubungan mereka yang semakin hari semakin kuat dan mesra.

“Ashraf sibuk dengan penggambaran sehingga pagi, jadi bila dia pulang ke rumah saya sudah menyiapkan sarapan dan tempat tidur serta bersiap secantiknya di samping memakai haruman Lux yang memikat supaya Ashraf senang hati melihat saya,” kata Bunga.

Bunga juga sempat berkongsi nasihat untuk para wanita untuk memikat hati suami demi mengekalkan keharmonian rumah tangga.

“Sebagai wanita, jangan pernah menunggu untuk apa yang kita mahukan. Kalau ingin disayangi suami, usaha untuk dapatkannya.

“Bagi saya, wangian ada kuasa untuk menaikkan keyakinan wanita dan menarik hati suami kita. Jadi, mesti pandai menjaga menjaga diri agar kelihatan cantik pada pandangan suami,” kata selebriti jelita berusia 31 tahun ini.

Akui Ashraf, usaha Bunga untuk menjaga kecantikan untuk suami telah menambat hatinya dan menambah rasa cinta terhadap isterinya itu.

“Bunga sangat sibuk, tapi masih bersungguh-sungguh jaga kecantikan. Usahanya telah buat saya mahu lakukan sesuatu yang lebih untuk dia, selalu ingin habiskan masa dan keluar bersamanya.

“Masa bercinta sebelum kahwin, kami telah berjanji untuk sentiasa menjaga dan mengekalkan cinta kami. Jadi, sibuk macam mana pun kami akan adakan satu malam untuk keluar berdua dalam temu janji seperti pasangan kekasih,” kata Ashraf yang berkongsi caranya memberi layanan istimewa kepada Bunga.

Dalam perkembangan lain, Ashraf kini dalam penggambaran sinetron Pashmina Aisha yang sedang bersiaran di stesen televisyen Jakarta, manakala Bunga menumpukan perhatian kepada karier nyanyian untuk mengeluarkan album keduanya selepas The Best of BCL pada hujung tahun ini.

Pasangan ini juga mengusahakan beberapa restoran, gimnasium dan pusat karaoke di Jakarta selain sibuk menjalani aktiviti jelajah mempromosikan produk keluaran terbaharu Lux di sekitar Indonesia dan Malaysia.


Pengarang jantung Ashraf-Bunga

Perkahwinan Ashraf dan Bunga yang didirikan sejak tahun 2008 semakin bahagia dengan kehadiran anak sulung lelaki mereka yang kini berusia tiga setengah tahun.

Status sebagai ibu bapa yang sibuk tidak menghalang pasangan yang membintangi filem Saus Kacang ini untuk membahagikan masa melayani anak comel mereka, Noah.

“Walau sibuk macam mana pun kami akan tetap cari masa untuk Noah. Dalam jadual kerja yang padat, kami masih dapat jumpa Noah setiap hari kecuali kalau ada kerja di luar kawasan yang tak dapat dielakkan.

“Bila kami dengan Noah, kami akan layan dia sepenuhnya dan tinggalkan fokus pada kerja buat seketika,” kata Bunga.

Tambah Ashraf dalam kunjungannya di Sunway Resort Hotel & Spa baru-baru ini, dia dan Bunga akan cuba membawa Noah ke setiap aktiviti dan kunjungan luar negara supaya dapat mencuri masa untuk melayani kerenah anak kesayangan mereka itu.

“Macam hari ini, kami turut bawa Noah terbang ke Malaysia. Saya selalu bawa Noah semasa menjalani penggambaran sinetron, begitu juga dengan Bunga kalau dia ada persembahan nyanyian,” kata bekas pengacara Beat TV dan Mentor ini.

Jelas Noah antara insan paling penting dalam hidup Ashraf dan Bunga apabila gambar kanak-kanak tersebut sering dimuat naik di laman instagram @ashrafsinclair dan @bclsinclair milik mereka.

Ketika ditanya tentang perancangan untuk memiliki anak kedua, Ashraf dengan teruja mengatakan dia menanti kehadiran cahaya mata seterusnya dan teringin untuk mempunyai bayi perempuan pula.

“Saya teringin anak perempuan, tapi semua ini atas rezeki ALLAH. Kami terima dengan gembira jika dikurniakan anak seterusnya,” kata Ashraf.

Bunga, bagaimanapun pernah teragak-agak untuk menimang cahaya mata yang seterusnya lantaran tanggungjawab kerja yang lebih menuntut tetapi berubah fikiran setelah melihat anak saudaranya.

“Mula-mula saya berfikir juga untuk ada anak lagi. Tapi lepas tengok anak perempuan kepada adik ipar saya, Aishah Sinclair, serta-merta rasa teringin untuk ada anak perempuan pula!” kata Bunga sambil ketawa.


Telus tangani kontroversi

Jika sesetengah selebriti lain gemar mengelak dan memberi pelbagai alasan untuk lari dari kontroversi yang dibikin sendiri, namun tidak bagi Ashraf dan Bunga.

Terdahulu, mereka pernah menimbulkan kontroversi sebelum berkahwin tetapi tidak lari daripada menjawab isu tersebut malah mengakui salah masing-masing.

“Kontroversi tetap akan datang biarpun bukan kita yang mencari. Yang penting kita harus tanganinya dengan ikhlas. Kami sangat telus walaupun kadang-kadang ketelusan itu boleh menimbulkan isu yang lain pula,” jelas pelakon utama wanita filem Cinta Pertama itu.

“Tapi kami lebih memilih untuk berterus-terang daripada berselindung tentang apa-apa isu yang diajukan. Lagipun, tak ada gunanya sembunyikan apa-apa kalau perkara itu memang benar-benar terjadi, “ tambah Ashraf.
Previous Post Next Post