Beego Belajar Cara Jaga Bayi Dengan Kakak Ipar



Beego atau nama sebenarnya Mohd Aszerul Nizam Abdullah, 34, mengakui menjadi tidak tentu arah saat menunggu kelahiran puteri sulungnya hasil perkahwinan dengan Linda Hashim. Namun jelas Beego, bukan melihat Linda bersalin yang membuatkan dia panik. Sebaliknya Beego bimbang sekiranya berlaku perkara buruk kepada Linda.

“Tanda yang baik buat seseorang wanita untuk bersalin adalah apabila air ketubannya pecah. Tapi Linda keluar darah. Lagipun beberapa hari sebelum bersalin, Linda demam. Itu yang buat saya sangat risau dan bimbang jika dia tidak kuat menahan sakit,” kongsi Beego menambah Linda selamat melahirkan bayi perempuan seberat 2.62 kilogram selepas enam jam dimasukkan ke hospital.

Walaupun keadaan Linda tidak begitu baik disaat melahirkan puteri sulung mereka, namun Beego bersyukur kerana Linda dan bayinya selamat. Tambah Beego lagi, dia merasa senang hati apabila anaknya bebas daripada penyakit.




“Ada beberapa penyakit yang senang berjangkit pada bayi yang baru lahir. Tapi Alhamdulillah anak saya bebas daripada sebarang penyakit. Dengan rendah hati, saya rasa bersyukur sangat dapat tengok anak perempuan saya lahir dengan sempurna,” ujarnya.

Bercakap tentang persediaannya menjadi seorang bapa, kata Beego, dia masih belajar dengan kakak iparnya cara-cara menguruskan bayi.

“Linda akan berpantang di rumah kakaknya. Jadi saya ambil peluang itu untuk belajar bagaimana cara memandikan, membedungkan bayi dan sebagainya. Buat masa ini, saya masih kekok menjadi seorang ayah,” kata Beego.



Pasangan ini telah memilih untuk menamakan puteri sulung mereka Jelita Clarissa. Kata Beego, pada awalnya dia ingin memberi nama Kasih Clarissa, namun sudah terlalu ramai kenalannya yang memberi nama Kasih buat anak mereka.

“Saya mahu nama yang klasik seperti Kasih, Ratu dan Jelita. Clarissa pula Linda yang pilih yang membawa maksud jelas. Mudah-mudahan anak saya membesar dengan jelita,” katanya.

Mahu Linda Berniaga

Sementara itu, Beego berkongsi dia tidak akan menghalang jika Linda masih ingin meneruskan kerjaya lakonan. Namun, Beego merancang untuk membuka satu perniagaan buat Linda supaya lebih banyak masa dapat diluang untuk anak mereka.

“Berlakon ambil masa yang lama dan Linda tak boleh bawa anak ke lokasi penggambaran. Jadi saya mencadangkan kepada Linda untuk membuka satu perniagaan dan nampaknya Linda pun bersetuju. Tetapi, jika Linda masih ingin terus berlakon, saya tak ada masalah,” katanya mengakhiri bicara.
Previous Post Next Post