Che Ta Makan nasi siang malam



Hampir 16 tahun tidak berbadan dua, pelakon je­lita Rozita Che Wan atau Che Ta, 40, akui berasa sedikit lelah dan penat jika bergerak terlalu banyak atau melakukan kerja-kerja berat walaupun usia kandungan baru tiga bulan.

Jelas Che Ta, perubahan dialami turut menghairankan kerana sebelum ini sewaktu mengandungkan dua anak hasil perkahwinan terdahulu, Aniq Ezzra, 16, dan Ammar Effendy, 18, badannya kuat untuk bekerja.
Che Ta yang berkahwin dengan Zain Saidin, 30, pada 11 Disember tahun lalu, mengumumkan berita kehamilannya menerusi laman sosial Instagram baru-baru ini, dengan menunjukkan ujian kehamilan positif.

Ditemui sewaktu maj­lis sidang media mengumumkan notis tuntutan bagi penggunaan nama dan gambarnya tanpa izin kelmarin, pelakon dan pengacara rancangan Primadona itu berkata, sewaktu mengandungkan Ammar, dia masih mampu mengangkat barang untuk berpindah rumah walaupun kandungan berusia sembilan bulan.




“Itu antara perbezaan ketara yang saya alami apabila mengandung kali ini. Adik saya kata, perkara itu berlaku disebabkan faktor usia. Mungkin betul apa yang dikatakan.

“Sepanjang tempoh awal mengandung, saya hanya menjaga pemakanan diambil, termasuk banyak minum susu, soya dan sarang burung. Ia lebih kepada memberi tenaga dan supaya bayi dikandung membesar dengan baik,” katanya.

Mengenai situasi me­ngalami alahan dan me­ngidam sebagaimana wanita mengandung, Che Ta bersyukur kerana ia tidak berlaku. Katanya, dia juga tidak berpantang makan.

“Saya memang kena makan nasi setiap hari tapi sekarang bila me­ngandung, saya makan nasi siang malam. Bayangkan jam 11 pagi saya cari nasi. Makanan pun lauk kampung yang saya suka macam sambal belacan, ikan masin atau telur masin.

“Yang saya perasan, bila mengandung, saya lebih gemar makanan masin atau masam. Manakala makanan manis berat untuk saya telan,” katanya.

Che Ta juga mengatakan, suaminya tidak mengalami alahan atau mengidam, cuma kuat makan seperti dirinya.

“Bayangkan setiap kali saya makan, dia akan ikut makan. Kadangkala soya dan sarang burung dibeli, dia yang habiskan. Seperti dia pula mengandung,” katanya.

Di saat dia mengandung, timbul masalah apabila ada pihak tidak bertanggung­jawab menggunakan namanya untuk menjual produk.

Ia menyebabkan ada syarikat pengeluar barangan kecantikan dan makanan kesihatan yang mahu me­ngambilnya menjadi duta membatalkan niat mereka.

Sebagai ibu mengandung, Che Ta tentu berdepan masalah disifatkan besar yang boleh memberi tekanan. Perkara itu tentu tidak bagus untuk dirinya yang dalam peringkat awal kandungan. Gangguan emosi boleh menjejaskan kandungan.

Bagaimanapun, jelas Che Ta, situasi membabitkan ada pihak menggunakan namanya sehingga kerugian mencecah setengah juta ringgit tidak terlalu mengganggu fikiran dan emosinya. Ia juga dianggap biasa.

“Semuanya di­uruskan pihak pengurusan saya. Mereka memberi notis supaya pihak tidak bertanggungjawab itu menarik balik iklan makanan kesihatan yang dimuat naik menggunakan wajah saya di laman sosial.

“Amaran diberi dalam masa 14 hari dan jika pihak terbabit tidak berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.

Mengenai aktiviti seni, Che Ta akui tidak ada masalah untuk bekerja tetapi tidak terlalu sibuk seperti sebelum mengandung.

“Sebenarnya, saya tidak suka duduk di rumah. Kalau duduk rumah, saya mula rasa rimas dan pening kepala. Cuma sepanjang me­ngandung, saya tidak ambil tawaran berlakon. Paling akhir saya buat adalah drama Bedah vs Joyah untuk TV9.

“Mengacara Primadona masih diteruskan dan sesekali saya melakukan tanggung­jawab sebagai duta dua produk yang ditandatangani kontraknya sebelum ini.

“Selebihnya, saya tidak buat apa-apa. Kalau tidak ada perkara hendak dilakukan, saya lebih suka keluar dan membeli-belah. Ia bagaikan terapi dan saya berasa seronok. Ia membuatkan saya tenang,” katanya.

Che Ta juga bersyukur dengan kejayaan anak sulungnya, Ammar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Katanya, Ammar akan melanjutkan pelajaran di Universiti Nottingham cawangan Malaysia bagi peringkat asas dan ijazah akan dilakukan di United Kingdom. Anaknya merancang mengambil bidang perbankan antarabangsa.
Previous Post Next Post