Dayana Roza Hati-hati pilih produk!



WANG ringgit bukan lagi ukuran atau penghalang buat sesetengah wanita memuaskan hati mereka untuk sentiasa kelihatan cantik.

Asal ada sahaja produk yang menunjukkan kesan dengan cepat, pasti ia akan menjadi perhatian walaupun belum tentu mereka tahu apakah bahan yang terkandung di sebalik produk itu.

Pernah mengalami situasi yang sama, pelakon Dayana Roza akui kini lebih berhati-hati dalam memilih produk kecantikan.

Pengalaman kulit muka yang ditumbuhi jerawat menjadi pengajaran berguna buat dirinya supaya tidak terlalu ghairah untuk tampil cantik tanpa mengambil tahu kesannya.




Apakah pendapat anda mengenai kecantikan dan kesihatan?

Bagi saya, kedua perkara ini memang penting dan sebagai seorang pelakon, saya amat menitikberatkan soal kecantikan dan kesihatan kerana ia membantu saya untuk bekerja dengan baik.

Boleh anda kongsikan penjagaan kecantikan seharian yang diamalkan?

Sebenarnya saya amat mementingkan kulit muka yang sihat. Boleh dikatakan, setiap kali menjalani penggambaran, kulit muka saya akan terdedah dengan solekan tebal.

Jadi selepas selesai kerja, saya akan pastikan kulit muka akan dicuci dengan bersih. Walaupun penat, saya tetap akan lakukannya kerana takut kulit akan ditumbuhi jerawat dan itulah perkara yang menakutkan saya.

Anda terlalu takut muka ditumbuhi jerawat, apakah pernah mengalami masalah ini?

Pernah dan ia berlaku baru-baru ini. Ketika itu kulit muka saya ditumbuhi jerawat yang besar dan ia berpunca daripada produk kecantikan yang saya gunakan.

Kandungan bahan kimia yang terlalu kuat dalam produk itu membuatkan kulit muka saya rosak dengan ditumbuhi jerawat. Mujur saya cepat dapatkan rawatan doktor, dan dia turut nasihatkan supaya lebih berhati-hati memilih produk.

Jadi nasihat saya kepada wanita di luar sana, sebelum memakai sesuatu produk, anda perlu tahu apa kandungan yang ada di dalamnya dan kalau boleh, dapatkan nasihat doktor.

Ada cara lain yang ingin anda kongsi bagi memastikan kulit sentiasa cantik dan sihat?

Selain ambil vitamin c, saya juga amalkan pengambilan jamu. Dari kecil lagi saya sudah didedahkan dengan pengambilan jamu.

Ketika itu pembantu rumah saya rajin buat jamu sendiri di rumah. Sejak itu, saya mula terbiasa dengannya.

Pemakanan jamu ini bukan hanya untuk kesihatan dalaman, tapi ia juga berkesan untuk kecantikan.

Bagaimana pula dengan penjagaan kesihatan?

Terus terang saya memang tidak ada masa untuk membuat aktiviti senaman secara konsisten tapi kalau ada masa, saya akan ke gymnasium. Selain itu, saya juga amalkan pengambilan suplemen untuk pastikan kesihatan dan stamina yang baik. Alhamdulillah, setakat ini ia amat membantu saya untuk sentiasa bertenaga.

Selain memenuhi jadual lakonan, apakah aktiviti lain yang sering anda lakukan?

Selalunya, kalau ada masa lapang, apa yang saya utamakan adalah waktu rehat yang secukupnya.

Tapi kalau ada ‘mood’ saya akan luang masa bersama kawan-kawan untuk menonton wayang dan juga bermain boling.

Bagaimana dengan perkembangan karier lakonan anda?

Sekarang saya sibuk menjalani latihan teater Di bawah Lindungan Kaabah arahan Rosminah Tahir.

Saya sangat teruja kerana impian saya untuk berlakon dalam teater akhirnya tercapai.

Selain itu, dapat bekerjasama dengan pelakon hebat seperti Adi Putra, Nasha Aziz, Fizo Omar, adalah pengalaman yang berharga buat saya.
Previous Post Next Post