Deanna Yusof rindu dunia lakonan


SUDAH lama tidak bertemu dengan aktres Deanna Yusof. Bertemu dengannya baru-baru ini pada majlis pelancaran filem lakonannya, CEO di Cathay Cinelesure, Damansara, Selangor, orangnya masih sama. Masih mesra dan kaya dengan senyuman.

Walaupun sudah lama tidak bersua dengan pihak media, profesionalisme Deanna jelas kelihatan. Setiap soalan dijawab dengan penuh tertib.

Lebih 20 tahun bergelar anak seni, kali terakhir wajahnya ditonton di layar perak adalah pada tahun 2007 menerusi filem Chermin. Sejak itu, Deanna seperti menghilangkan diri selain dilihat tidak lagi aktif berlakon.




Katanya apabila diaju soalan berhubung kehilangannya daripada dunia seni sehingga ada yang menyangka dia telah berhijrah ke luar negara: "Saya masih ada di Malaysia, tidak ke mana- mana. Saya pelik apabila ada orang yang berjumpa saya bertanya tentang bila saya balik ke Malaysia?

"Bila masa pula saya berhijrah ke luar negara? Saya masih bekerja di Malaysia, cuma dalam tempoh dua tahun ini saya kurang mengambil tawaran berlakon. Mungkin sebab kurang keluar di televisyen dan akhbar menyebabkan orang ramai berfikiran begitu."

Disoal apakah yang dilakukan sepanjang dua tahun tidak aktif dalam dunia seni, jawab Deanna, selain sibuk dengan perniagaan, dia juga masih aktif sebagai pengacara untuk majlis korporat.

Jangan salah sangka, biar jarang muncul mempamer kredibilitinya sebagai seorang aktres berbakat, ironi dia masih mendapat tawaran berlakon. Namun, terpaksa ditolak memandangkan pada usia 47 tahun, Deanna mengaku dia lebih selektif dalam memilih karya dan watak.

"Memang saya ada dapat tawaran berlakon, malah sebelum ini saya sepatutnya berlakon dalam dua buah filem. Bagaimanapun, pada saat-saat akhir filem itu terpaksa dibatalkan.

"Sudah tidak ada rezeki. Rindu untuk berlakon memang ada, cuma pada umur sekarang saya tidak boleh ambil semua tawaran. Saya tidak mahu membawa watak yang sama dengan apa yang pernah saya lakonkan sebelum ini," akuinya jujur.

Sungguhpun begitu, Deanna enggan berlakon dalam drama bersiri, sebaliknya hanya akan menerima tawaran untuk terbabit dalam telefilem dan filem sahaja.

"Saya bukan macam dahulu. Sekarang saya amat menjaga kesihatan dan sudah tidak larat untuk bekerja dalam tempoh masa yang lama.

"Jika drama bersiri, tempoh masa bekerja lebih 12 jam sehari dan waktu penggambarannya memakan masa berbulan-bulan. Saya mempunyai komitmen kerja yang lain, disebabkan itu saya hanya menerima filem dan telefilem sahaja," akuinya.


SIKAP selektif menjadi punca Deanna jarang muncul sebagai pelakon kerana tidak mahu kelihatan klise dengan watak yang dibawakan.

Tambah wanita ini, dia tidak bimbang dilupakan peminat gara-gara dirinya terlalu selektif dalam memilih karya sehingga menyebabkannya jarang muncul di televisyen dan layar perak.

"Bagi saya, walaupun sudah lama tidak berlakon tetapi jika kita ada kualiti orang tetap akan ingat saya. Sama seperti filem Chermin dan CEO, pengarahnya memang mahukan saya membintangi filem mereka.

"Rezeki ada di mana-mana. Peminat juga begitu, jika mereka suka dengan lakonan saya walaupun watak itu kecil dan jarang muncul di televisyen serta filem, mereka tetap akan mengingati saya," tuturnya dalam senyuman.

Enggan tanggung risiko

Jika diukur pengalaman dan nama besar yang dimilikinya, tidak mustahil untuk Deanna menerbitkan filem seperti mana rakan-rakan seangkatan dengannya yang sudah memiliki syarikat produksi sendiri.

Bukan tidak mahu bergelar penerbit, namun dengan industri perfileman yang tidak menentu, Deanna mengakui dia tidak berani untuk menanggung risiko kerugian wang yang banyak.

"Ramai rakan yang menyarankan saya untuk buka syarikat produksi tetapi saya tidak berani ambil risiko yang terlalu besar. Saya tiada masalah untuk berlakon tetapi untuk bergelar penerbit tidak sama sekali," katanya.

Sedar dan tahu apa yang dialami penerbit filem tempatan menyebabkan Deanna kini bergelar Ketua Pengarah Eksekutif, Artisanal Asia Sdn. Bhd. iaitu syarikat pengedar eksklusif bagi jenama coklat dari Switzerland iaitu Grand Jean Freres.

"Bukan mudah untuk menjadi penerbit dalam keadaan industri perfileman kita tidak kukuh. Masalah terbesar sekarang ini sukar membaca keinginan peminat filem untuk pihak penerbit menghasilkan filem yang boleh mencetuskan fenomena.



"Sebagai pelakon, saya cukup kagum dengan penerbit filem yang masih terus berjuang menghasilkan filem saban tahun walaupun dugaan untuk mereka sangat besar," jelasnya.

Selepas filem CEO, Deanna memberitahu, dia telah menerima tawaran berlakon dalam sebuah filem. Bagaimanapun, dia masih merahsiakan butiran terperinci filem tersebut.

"Alhamdulillah, masih ada rezeki saya walaupun sudah ramai pelakon baharu. Selepas CEO, sudah ada pihak yang menawarkan filem kepada saya.

"Sekarang ini semuanya masih dalam peringkat perbincangan. Jika semuanya telah sah, saya akan umumkan," ucapnya.

Tidak berkecil hati

Walaupun aktres ini memiliki nama yang besar serta tarikan yang kuat untuk penonton ke panggung wayang, bagaimanapun pada poster filem CEO, wajahnya langsung tidak kelihatan.

Pihak penerbitan hanya meletakkan wajah pelakon utamanya iaitu Remy Ishak, Beto Khusyairi dan Cristina Suzanne dengan alasan menggunakan konsep minimalis dan enggan mencampur aduk terlalu banyak gambar di poster filem arahan Razaisyam Rashid itu.

Deanna yang tersenyum saat diajukan soalan itu memberitahu, dia langsung tidak berkecil hati wajahnya tidak dipamerkan pada poster filem CEO, malah memahami tindakan pihak penerbitan.

"Saya bukannya pelakon utama kerana saya hanya muncul dalam lapan babak sahaja. Sebab itu, mereka (penerbit), tidak meletakkan wajah saya.

"Sejujurnya saya langsung tidak berkecil hati diberi hanya lapan babak dan wajah tidak muncul pada poster. Jika mereka letakkan wajah saya, seperti saya pelakon utama sedangkan tidak, itu telah menipu penonton," balasnya yang gembira dapat bekerjasama dengan pengarah baharu dalam filem CEO.

Ramai yang menganggap filem CEO merupakan filem kemunculan semula Deanna dalam industri lakonan tetapi hanya diberi lapan babak sahaja dilihat sesuatu yang merugikan.

"Alhamdulillah, walaupun hanya muncul dalam lapan babak sahaja tetapi watak sebagai seorang peguam yang jahat cukup membuatkan saya berpuas hati.

"Saya lebih rela berlakon dalam babak yang sedikit tetapi watak yang saya lakonkan diingati penonton.

"Ramai yang sangka filem CEO merupakan filem kemunculan semula saya tetapi tidak sebenarnya kerana saya tidak pernah berhenti berlakon," beritahu Deanna.
Previous Post Next Post