Fauzi sedia selesai cara baik


Fauzi Nawawi bersama keluarga

AKTOR, Fauzi Nawawi mendedahkan dia bersedia untuk bersemuka dengan Sharnaaz Ahmad sekiranya aktor yang berasal dari Pulau Pinang itu mahu menyelesaikan perseteruan yang melibatkan mereka bertiga secara baik.

Jelas Fauzi, dia tidak lagi melenting atau memarahi Sharnaaz mengenai perkara ini berasa lebih tenang kini selepas pulang daripada mengerjakan Umrah, baru-baru ini.

"Saya tidak mahu panjangkan lagi hal ini termasuk untuk mengambil apa-apa tindakan sebab saya tahu dia muda, ada panas barannya. Jadi saya tak nak layan orang yang panas baran ini.

"Tapi saya dengar dia mahu saman saya, sekiranya benar, saya hanya tunggu surat saman tersebut. Tetapi sekiranya dia mahu menyelesaikan dengan cara baik, saya bersedia bersemuka," katanya ketika ditemui media, baru-baru ini.




Tatkala diminta mengulas mengenai kenyataan Sharnaaz baru-baru ini menyatakan dia mahu menyelesaikan hal tersebut selepas Lisdawati bersalin, Fauzi berkata: "Tak ada logiknya nak tunggu isteri saya bersalin atau tidak sebab isteri saya sihat walafiat.

"Malah dia masih lagi boleh terbang ke Sarawak. Jadi tidak ada alasan langsung, sebab kalau setakat dia nak selesaikan perkara ini secara baik dan tak bergaduh, ia tak akan mempengaruhi kandungan isteri saya," katanya.

Fauzi menegaskan, tindakannya membuat laporan polis sebelum ini bukan kerana mahu memperbesarkan isu terbabit atau cuba mencari publisiti sebaliknya, ia di buat bertujuan memudahkan dia membawa Lisdawati menjalani pemeriksaan kesihatan di wad kecemasan.

"Sebagai seorang suami, jika ada yang menengking isteri saya sebegitu, saya tetap akan buat laporan polis tak kiralah siapa pun dia.

"Malah sebagai seorang bapa, tentulah saya mahu melindungi anak dalam kandungan tersebut. Apatah lagi sudah lima tahun saya menanti cahaya mata lelaki. Bila kena kejadian seperti ini, tentulah saya risau," katanya.

Fauzi berkata, sebagai seorang pelakon lama, seorang anak dan bapa, dia tidak akan sewenang-wenangnya memburukkan imejnya sendiri dengan bergaduh dengan mana-mana pelakon di dalam industri.

"Industri kita ini kecil sahaja, hari ini kita bergaduh, esok lusa kita akan berjumpa juga," katanya.

Sebelum ini media melaporkan Sharnaaz telah menyerang Lisdawati, 35, di lokasi penggambaran drama ‘Bukan Aku Tak Cinta’ di Sungai Buloh dekat sini pada 19 dan 21 Februari lalu.

Peristiwa itu menjadi tegang apabila Fauzi dikatakan menerima khidmat ringkas (SMS) daripada Sharnaaz berbaur ugutan selepas dia bertanyakan hal berkenaan. Lisda yang bakal melahirkan anak ketiga hasil perkongsian hidupnya dengan Fauzi dikatakan mengalami darah tinggi akibat kejadian itu.
Previous Post Next Post