Filem Brick Mansions Watak Pembantu Curi Tumpuan



BRICK MANSIONS merupakan filem terakhir yang dibintangi Paul Walker sebelum dia meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya lima bulan lalu.

KITA mungkin biasa mendengar tentang masalah jual beli dadah, penyeludupan senjata api serta korupsi yang berlaku dalam kalangan ahli politik di sesebuah negara.

Walaupun ia kedengaran tidak mustahil, perkara tersebut mungkin terjadi di sekitar daerah terpencil yang lumpuh sistem pentadbirannya.

Berlatarkan masa hadapan, filem adaptasi Brick Mansions mengangkat daerah Detroit, Amerika Syarikat sebagai sebuah daerah yang gersang dan sunyi tanpa sebarang kawalan keselamatan.




Mengambil peluang bermain dengan kerancakan turun dan naik adrenalin penonton, filem yang dibikin semula berdasarkan filem Perancis, District-13 ini lulus dari segi penceritaan.

Pada lima minit awal filem ini ditayangkan, babak kejar-mengejar antara watak pembantu dan gengster dadah dilihat dapat membuatkan penonton terlupa bahawa filem itu baru sahaja bermula.

Tidak kurang dengan itu, aksi yang ditampilkan sepanjang babak tersebut berjalan secara semula jadi walaupun ada beberapa pergerakan dilihat sedikit klise dan mirip seperti filem-filem aksi sebelum ini.

Plot kemas

Plot yang tersusun kemas membantu para penonton ikut sama berimaginasi bersama watak utama untuk menyelesaikan misi yang telah ditugaskan untuknya. Dalam pada itu, plot-plot tempelan dijalin rapi mengikut perkembangan watak dalam filem arahan Camille Delamarre ini.

Sejujurnya, kekuatan filem ini bersandarkan kepada dua orang pelakon yang memegang peranan utama iaitu Paul Walker sebagai detektif Damien Collier dan David Belle sebagai Lino Dupree.

Kelincahan kedua-dua karakter ini terserlah apabila watak mereka disatukan dalam satu insiden secara kebetulan yang membuatkan Damien dan David berganding bahu untuk menyelesaikan misi secara bersama.

Lino yang dirundung risau, berusaha untuk menyelamatkan teman wanitanya daripada cengkaman Tremaine manakala Damien yang digambarkan sebagai seorang lelaki yang dingin mahu membalas dendam terhadap individu yang sama atas kematian ayahnya.


BANDAR Detroit, Amerika Syarikat menjadi lokasi penggambaran filem aksi arahan Camille Delamarre ini.

David menonjol

Bagaimanapun karakter Lino, seorang penegak keadilan diolah terlalu menonjol sehingga ia menenggelamkan kehadiran Damien setiap kali beraksi dalam satu babak.

Walaupun bergelar watak pembantu, namun penampilan David mungkin sedikit berlebihan kerana pengalaman yang dikutipnya ketika melakonkan watak yang sama untuk filem asal sebelum ia diadaptasi menjadi Brick Mansions.

Sifat Lino yang sedikit sinikal turut membuatkan penonton pecah perut setiap kali dia mengucapkan beberapa dialog berbaur komedi sepanjang filem tersebut ditayangkan.

Selain menyingkap kisah penyeludupan dadah dan korupsi, filem ini turut mengetengahkan nilai kemaafan di samping balasan karma yang menimpa sekiranya kepercayaan yang diserahkan tidak diguna ke jalan yang benar.

Brick Mansions mengisahkan tentang Damien Collier, seorang detektif yang menyamar bagi menumpaskan beberapa sindiket berkaitan dadah.

Setelah berjaya memberkas beberapa penjenayah yang dikehendaki, dia kemudiannya diberi kepercayaan untuk menghentikan sebuah bom yang dikatakan dicuri oleh penduduk Brick Mansions di daerah Detroit.

Dalam menyelesaikan misi tersebut, Damien bertemu dengan Lino, seorang banduan yang menjadi 'kambing hitam' dalam menjayakan misi itu.

Selain menyelesaikan jenayah, Damien turut mempunyai misi peribadi apabila dia berusaha untuk membunuh individu yang dipercayai menjadi penyebab kematian ayahnya suatu ketika dahulu.

Konflik mula tercetus apabila kesefahaman kedua-dua mereka terlerai setelah misi asal yang sepatutnya membawa kepada keamanan kedua-dua pihak tergendala dek niat sebenar orang atasan yang mengeluarkan arahan.

Sewaktu menyelesaikan misi itu, Damien dan Lino juga turut belajar mengenal erti keberanian dan peluang yang perlu digunakan oleh mereka untuk menyelesaikan masalah walaupun dalam keadaan agak rumit.

Paling istimewa, filem yang ditayangkan di seluruh pawagam bermula hari ini merupakan filem terakhir lakonan Paul Walker yang siap sepenuhnya sebelum dia menemui ajal dalam satu kemalangan jalan raya akhir tahun lalu.
Previous Post Next Post