Forteen bukti kemampuan


Forteen

WALAUPUN Konsert KITA 20Forteen merupakan konsert pertama, namun empat anak muda mampu berikan persembahan terbaik buat peminat mereka di KL Live @ Life Centre, Kuala Lumpur, pada 26 April lalu.

Dianggotai empat jejaka berbakat, Muhammad Ridzuan Sharifuddin (One), Saiful Ridzuan Abd Hamid (Ariz), Mohd Arif Ameerais Azhar (Ameerais), dan Muhammad Izzul Islam Mazlan (Izzue), mereka tampak selesa beraksi di atas pentas secara langsung.

Bernaung di bawah KRU Records, kumpulan yang memperjuangkan pop balada ini mula aktif dalam dunia muzik Malaysia sejak 2011 lagi.

Pernah dikritik di awal kemunculan mereka, namun Forteen tetap positif untuk meneruskan kerjaya seni mereka dan mampu bertahan sehingga kini.

Menurut One, biarpun ahli Forteen lain mempunyai projek solo masing-masing namun mereka tidak pernah sesekali untuk berpecah atau mengambil haluan kerjaya berasingan.

"Alhamdulillah... Syukur pada ILAHI kerana dapat menjayakan konsert sulung kami. Insya-ALLAH, jika diizinkan kami akan mengadakan lagi konsert sebegini bagi menghargai sokongan peminat kami.

"Konsert ini juga membuktikan hubungan kami berempat tetap kukuh dan utuh walaupun ada ahli sibuk dengan lakonan atau projek solo.

"Kami sangat bersyukur dan sangat lega selepas dapat mengubati rindu peminat selepas sekian lama bertapak dalam dunia hiburan," ujarnya setelah menerima kunjungan peminat bukan sahaja dari Malaysia bahkan dari Singapura dan Brunei.


Konsert solo tawan peminat

Persembahan yang bermula tepat jam 4.30 petang itu dimulakan dengan artis-artis di bawah naungan KRU seperti duo #tag (My Crush) , penyanyi cilik Hazuri (Warisanmu), Fitri Hakim (Selepas Berpisah) dan Qasri (Citarasa Perempuan).

Kemudian pentas dihangatkan dengan kemunculan Forteen dengan lagu pembukaan iaitu Kita sehingga mendapat sorakan daripada peminat mereka.

Selain lagu ini, mereka turut mendendangkan lagu-lagu daripada album Forteen seperti Berdua Bersatu, Ketika Ini, Seperti Dulu dan dua lagu Inggeris, Skyfall serta Treasure.

Mereka juga menyanyikan lagu secara solo seperti Untuk Sahabat, Laksamana Raja Di Laut, Pencuri dan juga Nakal.

Tidak ketinggalan, lagu-lagu medley nyanyian asal Feminin dan KRU, seperti Bila Rindu, Jangan Lafazkan, hati Terluka, Manisnya Senyumanmu, Terhangat Di Pasaran dan sebuah lagu raya, Sepuluh Jari Di Aidilfitri.

Pentas pada petang itu turut dihangatkan dengan tarian bertenaga Forteen sehingga mendapat tepukan gemuruh penonton.

Biarpun ia merupakan pengalaman pertama mereka, namun Forteen bijak bermain dengan audiens sekali sekala menceritakan kisah mereka sebelum menyertai kumpulan itu.

Gaya penceritaan dan bahasa tubuh turut mencuri perhatian bukan sahaja penonton bahkan penulis turut merasa mencuit hati.

Ternyata, persembahan keempat jejaka ini kelihatan kacak dengan dua persalinan baju rekaan Fairuz Ramlan dan kasut tajaan, Twenty 2nd, tidak mengecewakan.

Mewakili kumpulan tersebut, Ariz,24, berkata konsert ini sebagai bukti bahawa Forteen tetap kukuh biarpun pernah dikritik bahawa mereka tidak akan kekal lama.
"Kami telah buktikan Forteen bukan sahaja masih utuh bahkan diterima peminat sehingga dari luar negara.

"Demi peminat, kami berlatih bersungguh-sungguh untuk menjayakan konsert ini. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar biarpun sebelum ini kami terpaksa tangguh untuk menghormati peristiwa kehilangan MH370," katanya.





Izzue menangis!

Sementara itu, penyanyi dan juga pelakon kacak, Izzue Islam, 23, menyatakan perasaan lega selepas dapat beraksi di atas pentas dan berpeluang untuk menari untuk peminat setia Forteen.

Namun, dia mengakui belum puas untuk menghiburkan peminat dan berharap dapat lakukan persembahan untuk peminat mereka di masa hadapan.

"Saya rasa sangat seronok dapat berjumpa dengan peminat setia Forteen, dan gembira dengan sambutan positif daripada mereka.

"Rasa penat berlatih sebelum ini hilang selepas melihat reaksi peminat yang begitu 'enjoy' dengan persembahan kami," katanya.

Dalam masa yang sama, Izzue turut menjelaskan tangisannya ketika menyampaikan sebuah lagu tribute khas untuk Pusat Penjagaan Kanak-kanak Cacat Taman Megah.

"Video yang dipaparkan ketika kami menyanyi merupakan lawatan kami ke pusat penjagaan kanak-kanak istimewa. Mulanya biasa sahaja, tetapi di saat saya terpandang wajah mereka, saya mula sebak.

"Air mata saya gugur jua kerana video ini ditayangkan pada hari persembahan kami. Sebelum ini tidak pernah ditonton sama sekali," kata Izzue.

Dalam pada itu, Izzue yang kini sibuk dengan latihan teater baharu lakonannya, Projek Kahwin pada Jun depan selepas teater Maduku Kalut mendapat sambutan di luar jangkaan.
Previous Post Next Post