Maya Karin Kembali jadi penyanyi



SEKITAR 13 tahun lalu, Maya Karin Roelcke, 35, pernah mengintai peluang dalam industri muzik tempatan untuk mencuba nasib sebagai seorang penyanyi.

Ternyata, percaturan figura yang memulakan kariernya sebagai pengacara untuk rancangan Wavelenght itu tidak berakhir dengan kalimah sia-sia.

Berjaya menghasilkan sebuah album debut berjudul Erti Cinta, langkah besar Maya Karin dalam dunia nyanyian makin rancak derapnya tatkala single pertama, Erti Cinta ciptaan komposer terkenal Ajai, mula mencuri perhatian para peminat.

Sayangnya, bakat nyanyian wanita kelahiran Bavaria, Jerman itu dalam industri seni suara tidak kekal lama apabila dia muncul dengan album kedua berjudul Bukan Qalamaya pada tahun 2004. Album tersebut tidak mendapat sambutan hangat, sekali gus menenggelamkan namanya dalam bidang nyanyian.

Melihatkan kepada situasi turun dan naik kariernya sebagai penyanyi, Maya yang terlebih dahulu telah dilamar berlakon untuk filem Seri Dewi Malam arahan Aziz M. Osman, memutuskan untuk memberi fokus yang penuh terhadap kerjayanya di hadapan kamera.

Mengambil keputusan berehat daripada dunia nyanyian untuk jangka waktu yang panjang, Maya mengakui, tempoh tersebut telah digunakan sebaik mungkin untuk terus berlakon dan pada masa yang sama membina keyakinan diri sebagai seorang penyanyi.

"Setelah muncul dengan album kedua iaitu Bukan Qalamaya, penerimaan para peminat terhadap lagu-lagu saya dilihat kurang memberangsangkan. Mungkin album itu mengandungi lagu-lagu bergenre world music, sedangkan ketika itu pendengar masih mahukan saya merakam lagu berentak balada.

"Walaupun beberapa buah single telah dikeluarkan, namun penerimaan para pendengar masih juga serupa. Dalam sibuk mempromosikan album, tawaran untuk berlakon juga datang dengan banyak. Jadi, fokus saya pada ketika itu mungkin lebih ke arah bidang lakonan dan meninggalkan kerjaya sebagai penyanyi buat sementara waktu.





KEMBALI aktif menyanyi, Maya Karin juga masih dalam radar sebagai seorang pelakon yang disegani.

"Bagaimanapun, tempoh rehat yang panjang dalam bidang nyanyian saya gunakan sebaik mungkin untuk terus berusaha dalam menempa nama sebagai seorang penyanyi.

"Alhamdulillah, usaha tersebut akhirnya membuahkan hasil dengan kemunculan album ketiga saya berjudul Teka-Teki," tutur Maya lembut ketika ditemui usai majlis pelancaran album terbaharunya itu bersama Warner Music Malaysia di No Black Tie, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Putus asa

Menyorot kembali kisah lama ketika mula-mula berdiri di atas pentas untuk menyanyi secara langsung, Maya memberitahu, dia hampir berputus asa untuk meneruskan kariernya sebagai penyanyi kerana tertekan dengan keadaan sekeliling.

"Saya memulakan karier nyanyian ketika baru menetap di Malaysia. Maklumlah, pada waktu itu semuanya baharu buat saya. Selain tidak fasih berbahasa Melayu, saya juga masih kurang faham tentang cara hidup masyarakat di sini.

"Jadi, apabila diminta untuk menyanyi di hadapan orang ramai, saya jadi tidak tentu arah. Walaupun pernah menyanyi untuk kumpulan koir ketika zaman remaja, saya masih kurang selesa untuk membuat persembahan di atas pentas secara solo. Justeru, saya mula berasa tertekan dan mahu meninggalkan bidang ini," ujarnya.

Namun, atas kegigihan serta keupayaannya belajar dengan kadar yang cepat, Maya akhirnya berjaya mengatasi masalah tersebut dan mampu berdiri sama tinggi dengan penyanyi-penyanyi lain.

"Ada juga perasaan takut terhadap kehebatan penyanyi-penyanyi lain tetapi perkara itulah yang membuatkan saya untuk terus kekal sebagai penyanyi hingga ke hari ini," ujarnya lagi.


ALBUM Teka Teki dilancarkan pada minggu lalu bersama Pengurus Besar Warner Music Malaysia, Darren Choy.

Matang kerana teater

Pelakon yang cukup sinonim dengan filem Pontianak Harum Sundal Malam ini turut memberitahu, transisi muzik yang dialaminya bukan sahaja bersandarkan kepada pengalaman merakamkan album semata-mata, malah penglibatannya menerusi beberapa pementasan teater juga turut banyak membantu.

"Ketika menghasilkan album kedua, banyak input yang telah saya berikan kepada syarikat rakaman. Ia termasuklah memilih komposer-komposer yang terlibat untuk mencipta lagu sehingga gaya yang ingin ditampilkan untuk kulit album.

"Melibatkan diri secara langsung dalam ruang kreatif pembikinan album sedikit sebanyak membantu saya membina keyakinan diri untuk terus bergelar penyanyi. Sedikit sebanyak, proses seperti ini lebih mematangkan saya," ungkap Maya sambil ketawa.

Selain itu, perspektif positifnya terhadap dunia nyanyian semakin meningkat apabila dia mula menjinakkan diri dalam dunia pementasan teater.

"Pada tahun 2009, saya mengambil risiko dengan melibatkan diri dalam pementasan teater berjudul Natrah. Namun, menerusi pementasan itu, saya tidak menyanyi secara langsung. Walaupun ia mampu memperbaiki mutu lakonan saya tetapi keupayaan untuk menyanyi secara langsung masih di takuk lama.

"Justeru, apabila ditawarkan untuk menyertai pementasan SuperMokh The Musical tahun lalu, saya mengguna- kan peluang tersebut untuk menggilap semula keupayaan saya menyanyi secara langsung.

"Walaupun watak saya tidak sebesar mana, namun pengalaman menyanyi secara langsung di hadapan ribuan penonton itu lebih berharga," ujar Maya yang bakal muncul buat kali kedua menerusi pementasan tersebut yang bakal menggegarkan Istana Budaya, Kuala Lumpur tahun ini.


MAYA mengaku hidupnya kini bahagia dengan kehadiran seorang kekasih yang masih dirahsiakan identitinya.

Puas berlakon

Menerusi album ketiganya, Teka- Teki, Maya mempertaruhkan lagu Teka-Teki sebagai single pertama. Ditanya mengenai hubung kait antara lagu ciptaan Omar K itu dengan kisah peribadinya, Maya berkata, lirik yang terkandung dalam karya tersebut ada mencerminkan beberapa momen penting dalam hidupnya.

"Jika diberi peluang untuk memilih sebuah lagu yang begitu dekat dengan jiwa saya, sudah pasti saya memilih lagu Teka-Teki," balas Maya sambil menyifatkan lagu tersebut selari dengan rancangan masa depannya yang belum pasti.

"Sebagai seorang individu normal, saya masih lagi 'berteka-teki' dalam setiap aspek kehidupan. Saya juga masih lagi dalam proses mencari teman hidup dan tertanya-tanya mengenai apa yang akan berlaku pada masa akan datang.

"Sehingga pada satu tahap, saya mahu menumpukan seratus peratus perhatian terhadap muzik dan buat sementara waktu berehat daripada dunia lakonan.

"Mungkin saya terfikir untuk melakukan semua ini kerana saya telah puas beraksi di hadapan kamera.

"Ketika mula-mula menjinakkan diri dalam dunia lakonan, saya langsung tidak meletakkan sebarang harapan di sebalik kerjaya saya itu.

"Sebaliknya, setelah beberapa tahun bergelumang sebagai seorang pelakon, banyak pengiktirafan yang telah saya rangkul melalui pelbagai watak yang telah saya mainkan," ujar Maya sambil melahirkan rasa syukur dengan rezeki yang diberi- kan oleh Allah SWT kepadanya.

Walaupun mengaku puas berlakon, namun pelakon yang bakal muncul dengan siri terakhir filem Lagenda Budak Setan ini tidak merancang untuk bersara daripada dunia lakonan.

"Saya hanya mahu memperlahankan aktiviti lakonan. Bersara daripada bergelar pelakon, tidak sama sekali," tutur Maya mengakhiri perbualan.

Previous Post Next Post