Nelydia Mengaku Babak Mesra Dengan Sharnaaz Keterlaluan



Pelakon drama bersiri ‘Bukan Kerana Aku Tak Cinta’ (BKATC), Nelydia Senrose mengakui yang sesetengah babak romantis dan mesra yang dia bawakan bersama Sharnaaz Ahmad dalam drama bersiri itu agak keterlaluan.

“Sejujurnya saya mengaku, ada sesetengah babak-babak romantik saya dengan Sharnaaz jayakan sedikit keterlaluan. tapi semuanya berdasarkan novel. Saya tidak lakukan lebih daripada novel. Namun begitu, kami tahu batasannya dan bersikap profesional sepanjang penggambaran. Semuanya berjalan lancar,” ujar Nelydia ketika ditemui di Majlis Tayangan Episod Akhir BKATC di The Strand, Damansara.

Sebelum ini terdengar desas-desus kekasih Nelydia, Qi Razali didakwa kurang senang melihat kemesraan Nelydia dan Sharnaaz paparkan dalam drama bersiri tersebut. GUA bertanyakan kepada Nelydia adakah Qi ada menonton drama bersiri BKATC untuk melihat sendiri babak-babak yang dimaksudkan.




“Saya tak tahu jika dia ada menonton BKATC. Tapi apa yang saya tahu, sememangnya dia tidak menonton cerita lakonan saya. Begitu juga sebaliknya. Malah, kami berdua pun tidak menonton hasil lakonan sendiri. Masing-masing sibuk dengan penggambaran, Qi sibuk dengan rancangan travelog dan sebagainya, saya pula sibuk di set. Tapi dia seorang yang menyokong dalam apa jua perkara yang saya lakukan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Nelydia meluahkan rasa gembiranya kerana wataknya sebagai Mastura dalam drama tersebut diberi maklumbalas positif oleh peminat dan penonton. Gadis berusia 20 tahun ini juga mendedahkan cabaran dalam membawakan watak Mastura.

“Saya gembira orang ramai bagi maklumbalas positif. Watak ini sangat istimewa kerana ianya lain daripada watak yang saya bawakan sebelum ini. Jika dahulu selalunya saya bawakan watak wanita naif, dalam BKATC saya bawakan watak seorang wanita yang agak ‘daring’, gedik dan manja.

“Cabaran dalam saya menjayakan watak Mastura adalah menerusi cerita ini sendiri. Cerita ini digarap 100 peratus berdasarkan novel. Saya takut orang yang membaca novel BKATC rasa watak yang saya bawakan tak sampai. Jadi saya membaca novel ini dan cuba sehabis baik menggarap watak Mastura sendiri dengan cara saya. Alhamdulillah orang terima,” ujarnya mengakhiri perbualan.
Previous Post Next Post