Peluang ramah mesra bersama Adi Putra, Nasha Aziz



PEMINAT teater Di Bawah Lindungan Kaabah berpeluang menghadiri sesi khas bersama dua pelakon utamanya, Adi Putra dan Nasha Aziz.

Sesi yang dinamakan Meet & Greet With Nasha & Adi itu akan diadakan pada 13 dan 15 Mei ini selepas tamat persembahan di panggung Sari, Istana Budaya.

Pengarah Pemasaran Di Bawah Lindungan Kaabah, Chloe Siao Hui Boon, berkata, sesi itu diadakan sebagai salah satu cara menghargai peminat kedua-dua pelakon utama tersebut yang sudi menonton teater karya Allahyarham Prof Dr Hamka itu.

“Sesi bersama Adi Putra akan diadakan pada 13 Mei manakala bersama Nasha pada 15 Mei di Bilik Nilam Sari yang mana tawaran ini terhad hanya kepada 70 peminat saja.

“Bagi tujuan itu peminat hanya perlu membayar antara RM230 dan RM250 yang meliputi bayaran tiket menonton pada tarikh tersebut, jamuan, buku program dan cenderamata,” katanya.




Sementara itu, Adi Putra berkata, tiada hadiah yang lebih bermakna selain dapat beramah mesra dengan penonton yang membelanjakan wang serta waktu untuk menonton teater berkonsep Islamik itu.

“Hanya ini saja cara yang dapat saya lakukan bagi menghargai pengorbanan mereka terutamanya yang datang dari jauh bagi menyokong industri teater.

“Peluang yang ada juga tidak selalu, maka saya akan berusaha sedaya upaya untuk melayan mereka,” tegas Adi yang memegang watak sebagai Hamid dalam pementasan itu.

Teater Di Bawah Lindungan Kaabah diterbitkan bersama oleh CTRA Production dan Istana Budaya, mula dipentaskan pada 9 hingga 18 Mei ini.

Selain Adi dan Nasha, teater ini turut dijayakan oleh Fizo Omar, Dafi Ismail Sabri, Elfira Loy, Zahid AF, Liza Abdullah, Alina Hassan, Yasmin Hani Richardson, Taufeq Izmir, Mazlan Tahir, Shahrul Mizad Ashari, Wify Irfan dan Tun Amiera Rania.
Previous Post Next Post