Protege Rossa Terkejut Dicium Peminat



Juara program realiti X Factor Indonesia musim pertama, Fatin Shidqia Lubis mengakui yang dia sedang mencuba untuk mengatasi perasaan gugup ketika membuat persembahan di pentas. Ini kerana kegugupannya dapat dilihat dengan ketara sekali apabila berhadapan dengan penonton-penonton yang baru dikenali.

“Memang saya akui yang begitu gugup ketika berhadapan dengan penonton yang baru saya kenali. Jika saya sudah biasa dengan penonton- penonton terbabit, maka perasaan berdebar itu tidak begitu ketara,” ujar Fatin ketika ditemui di showcase bagi mempromosikan album Fatin, 'For You' di Aloft Hotel, Kuala Lumpur Sentral pada Selasa.

Mengakui masih baru dalam bidang seni, Fatin pernah terkejut kerana dicium oleh seorang peminat lelaki secara tiba-tiba. Dia mengakui perkara tersebut sama sekali tidak disangka dan membuatkannya malu, namun peminat tersebut telah memohon maaf kepadanya di laman sosial Twitter.

“Saya baru setahun berkecimpung dalam bidang seni, jadi perkara-perkara sebegini masih lagi baru buat diri saya. Apabila dicium, saya bukan sahaja berasa malu, malah menjadi tergamam seketika. Bagaimanapun, lelaki terbabit telah memohon maaf secara terbuka di Twitter.




Memang saya meminati Teh Ocah (Rossa), bukan kerana dia merupakan mentor saya ketika di X Factor, tetapi memang menyukainya sejak dulu lagi. Dia banyak memberikan nasihat kepada saya supaya menepati masa, tidak sombong serta banyak lagi,” ujar Fatin.

Fatin berkongsi yang mentornya itu lebih memahami dirinya berbanding dirinya sendiri kerana kadang kala belum sempat dia meminta nasihat, Rossa sudah menyarankan kepadanya terlebih dahulu. Bagi Fatin, Rossa mempunyai karisma serta disiplin yang tidak dapat disangkal lagi.

Selain menjadikan Rossa sebagai idolanya, Fatin juga turut meminati Datuk Siti Nurhaliza, Shila Amzah dan Najwa Latiff kerana vokal mereka yang begitu mantap. Dia yang memang mempunyai minat mendalam dalam bidang nyanyian mengakui membesar dengan lagu-lagu Datuk Siti.

Sementara itu, Fatin yang sedang dalam rangka promosi albumnya turut memperkenalkan single keduanya yang bertajuk ‘Dia Dia Dia’. Single ini merupakan single keduanya selepas ‘Aku Memilih Setia’.
Previous Post Next Post