Sharnaaz Ahmad Tak Boleh Tinggalkan Jebat



Drama bersiri ‘Bukan Kerana Aku Tak Cinta’ yang ditayangkan di Astro Mustika HD lakonan Sharnaaz Ahmad, Nelydia Senrose, Iqram Dinzly dan ramai lagi telah mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan.

Namun begitu, ketika drama bersiri BKATC ditayangkan, Sharnaaz dihimpit beberapa siri kontroversi iaitu cerita pertelingkahan Sharnaaz bersama Fauzi Nawawi dan Lisdawati serta kontroversi gambar mesranya bersama Nelydia yang menjadi bualan orang ramai. Adakah perkara ini memberikan sebarang kesan kepada pelakon kelahiran Pulau Pinang ini?

“Berkenaan dengan pertelingkahan saya dengan Lisdawati dan Fauzi, saya rasa perkara itu biarkan berlalu. Tapi yang mana perlu diselesaikan, akan diselesaikan kelak. Mungkin selepas dia bersalin nanti. Tak tahulah, saya malas bercakap pasal perkara ini. Malas bercakap dengan orang yang tiada kena mengena dengan hidup saya.

“Mengenai kontroversi gambar saya bersama Nelydia, saya rasakan itu sudah kerja saya. Apabila pihak produksi membayar saya untuk membawakan watak Jebat, saya harus lakukan perkara tersebut dengan bersungguh-sungguh,” jelasnya ketika ditemui di Majlis Tayangan Episod Akhir BKATC di The Strand, Damansara pada Selasa.






Ketika ditemubual sewaktu pelancaran drama ini tahun lalu, Sharnaaz pernah menyatakan hasratnya untuk bersara dalam dunia lakonan selepas selesainya drama bersiri ini. Namun begitu, drama BKATC mendapat respon yang sangat baik. Adakah perkara itu merubah keputusan Sharnaaz untuk bersara?

“Ketika di pertengahan penggambaran BKATC, saya sudah terfikir balik untuk simpan dahulu keputusan tersebut. Tapi, apa yang penting selepas ini, saya masih mahu berehat dahulu rasanya. Untuk berapa lama, saya kurang pasti, tapi saya masih mengambil tawaran kecil-kecilan. Saya tak tarik balik, tapi saya simpan dahulu hasrat saya,” ujar pelakon filem ‘Juvana’ ini.

Dalam pada itu, Sharnaaz mengungkapkan rasa kesyukurannya apabila drama bersiri BKATC dan watak Jebat yang dibawa olehnya mendapat respon baik daripada pelbagai pihak.

“Alhamdulillah, saya dapat maklum balas yang sangat bagus menerusi watak Jebat yang saya bawakan dalam BKATC. Saya tak sangka sambutan BKATC begitu hebat. Seperti malam ini, saya tak jangka pun akan ramai sangat orang datang menyokong BKATC. Karakter Jebat sangat dekat dengan saya. Saya rasakan 100 peratus watak Jebat adalah sama dengan saya. Saya rasakan saya tak boleh tinggalkan lagi watak Jebat. Karakter itu rasa sangat dekat dengan saya, malahan orang lain boleh menerima Jebat,” kata Sharnaaz mengakhiri perbualan.
Previous Post Next Post