Sinar FM gegar Kedah



BUAT julung kalinya, Sinar FM menggegarkan warga Kedah dalam satu siri Jelajah Komedi Sinar bersama penaja utama, Kawan Paratha pada Sabtu lalu.

Jelajah selama sehari di Village Mall, Sungai Petani berjaya menarik seramai 4,000 pengunjung yang hadir memeriahkan program tersebut.

Lokasi pertama program ini telah menyatukan semua penyampai radio tersebut seperti Raja Azura, Abby Fana, Salih Yaacob, Krill, Feeya, Zaidi Zainal, Jamal Jamaluddin dan Najman di atas satu pentas.

Sementara itu, kehadiran pelawak-pelawak terkenal tanah air iaitu Jep (Sepahtu), Shiro dan Jambu yang menjadi tarikan utama jelajah itu.

Biarpun ia berlangsung selama sehari bermula jam 12 tengah hari dan berakhir kira-kira 6 petang, peminat tidak putus-putus hadir menyaksikan persembahan mereka itu.

Turut disediakan pelbagai acara menarik seperti pertandingan Fesyen Kawan Paratha, Kenali Pasangan Anda, dan juga persembahan pelawak-pelawak jemputan.

Jelajah Komedi Sinar ini akan meneruskan misi ke Mydin MITC, Melaka pada 19 April dan menutup tirai program di Planet Gempak Astro Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 26 April depan.




Dekati pelawak lebih dekat

Pengurus Radio Sinar FM, Rizal Sahimy berkata, program yang pertama kali dianjurkan dengan menghimpunkan pelawak terkenal mendapat sambutan di luar jangkaan.

Rizal berkata, dia tidak menyangka penerimaan yang sangat menggalakkan daripada pendengar yang hadir dalam program tersebut.

"Alhamdulillah.. saya sangat bersyukur dengan sambutan yang diterima. Ia menunjukkan peminat peka dengan perkembangan semasa dan kelainan yang ditonjolkan dalam program ini menarik ramai pendengar hadir.

"Ternyata pilihan kami tepat dengan memilih lokasi ini menerusi kajian yang dilakukan pihak pengurusan," ujarnya.

Rizal berkata, penerimaan positif daripada pendengar di Utara menerusi '#Jelajah Komedi Sinar' di laman sosial Sinar FM, biarpun program ini baharu saja diperkenalkan.

Tambahnya, program seumpama itu merupakan persembahan komedi stand up daripada pelawak yang diundi oleh pendengar radio tersebut.

"Undian pula dilakukan secara atas talian menerusi Facebook dan pelawak-pelawak ini akan di tampil khas untuk menghibur pendengar di tiga lokasi terpilih," katanya.

Tambahnya, kebanyakan program yang disediakan khas untuk pengunjung sebagai satu platform peminat berinteraksi dengan lebih rapat.

"Kami menjemput beberapa pasangan untuk menyertai pertandingan dan masa yang sama, mereka boleh berbual dan bermain permainan dengan pelawak-pelawak.

"Tanpa ada perbezaan pangkat atau darjat, kami seolah-olah satu keluarga besar dan itulah yang ingin kami mahukan dalam program jelajah ini," katanya.
Previous Post Next Post