Shakila Khoriri Tiada niat bergaya seksi



Banyak mata tertumpu kepada Shakila Khoriri, 25, melihat kehadirannya pada majlis sidang media drama terbaru lakonannya, Aku Isterinya.

Sebahagian teman wartawan dan jurugambar tidak mengenalinya namun perhatian tetap diberi kepada pelakon sedang mencipta nama ini.
Hendak diikutkan, Shakila atau nama sebenarnya Nurul Shakila Mohd Khoriri bukan orang baru dalam dunia lakonan. Dia mula berlakon sejak berusia 17 tahun tetapi hanya diberi watak kecil dan sampingan.

Penampilan dengan rambut ikal dilepaskan dan baju melekap di tubuh nyata berjaya memukau banyak mata walaupun pelakon jelita Anzalna Nasir hadir sama.




Ternyata Shakila kurang selesa apabila penampilannya yang dikatakan seksi menjadi perhatian umum. Kata­nya, apa digayakan pada hari itu berdasarkan watak dibawa dalam drama Aku Isterinya untuk slot Akasia di TV3 dan mula disiarkan TV3 sejak Rabu lalu.


“Saya bukan sengaja merancang untuk tampil seksi kerana secara peribadi saya bukan begitu. Namun jangan pula ada yang salah anggap, memang saya pakai kain potongan pendek kalau di luar tetapi pada majlis ini, saya tidak sengaja bergaya demikian dengan tujuan menarik perhatian ramai.

“Malu juga andai ada yang kata saya seksi kerana saya mungkin kelihatan demikian kerana susuk tubuh berisi. Faham sajalah, jika gemuk, kalau tutup atas bawah nampak macam terbuka dan begitulah sebaliknya,” katanya.

Tambah Shakila, dia langsung tidak merancang berpakaian seksi di depan media dan orang ramai kerana baginya, kalau tidak seksi, ia jauh lebih baik.

Katanya, sebagai pelakon baru, dia tidak mahu orang memperkatakan penampilannya tetapi lebih selesa andai ia berkaitan kerja dan bakat.

“Kalau benar saya mahu popular atau cipta nama atas penampilan dan gaya seksi, lapan tahun dulu saya sudah buat. Kalau hendak seksi pun mung­kin waktu awal remaja.

“Tidak dinafikan pada waktu itu saya memang memakai singlet dan berseluar pendek apabila keluar. Namun apabila usia mening­kat, saya mula bergaya sesuai usia.

“Cuma kalau bercakap mengenai penampilan seksi dalam watak itu, memang tidak boleh dielak kerana ia berkaitan kerja,” katanya

Gadis asal Kuala Lumpur ini pada awal kemunculannya sekadar mahu menimba pengalaman dan melihat adakah bakatnya diberi perhatian. Namun tanpa sedar, dia terus memilih bidang seni sebagai kerjaya sepenuh masa.

“Saya bukan baru, tapi dalam tempoh lapan tahun menjadi pelakon, masih banyak perkara perlu saya belajar. Ia belum cukup. Dalam tempoh itu, ada orang kenal dan ada yang tidak.

“Sebagai orang baru, saya harus bertanya diri sendiri, untuk apa orang kenal Shakila Khoriri. Adakah kerana bakatnya? Kalau dikenali kerana bakat, saya bersyukur,” katanya.

Menurut Shakila, penampilan juga tidak dinafikan turut memainkan peranan penting, apatah lagi sewaktu mula-mula membabitkan diri dalam dunia lakonan di usia remaja, badannya berisi.

Begitupun, peluang mula terbuka luas untuk dia mengorak langkah jauh apabila membintangi drama bersiri Duyung Aridinata, beraksi di samping aktres popular Fasha San­dha.




Selain Duyung Aridinata, Shakila pernah membintangi drama bersiri popular lain seperti Adam dan Hawa, OMG dan Kerana Sarah. Namun, semuanya watak pembantu dan boleh dikatakan sebahagian besarnya antagonis.

Begitu juga dengan Aku Isterinya. Bezanya, watak antagonis dilakonkan lebih besar dan menjadi peng­gerak cerita kerana watak Suzanne cuba memecah-belah hubungan Mikhail lakonan Izzue Islam dan Mia Alissa (Anzalna).

Shakila akui bosan menjayakan watak antagonis namun memandangkan inilah kerja dan amanah, dia tetap melakukannya dengan sepenuh hati.

“Pada saya, walaupun bosan dengan watak sama, sebagai pelakon, saya perlu melaksanakan kerja dengan rasa penuh tanggung­jawab.

“Lagipun, antagonis atau jahat ini ada pelbagai. Jadi saya cuba me­ngikut perkembangan watak digambarkan penulis skrip.

“Begitupun, secara peribadi, pada saya watak antagonis paling jahat pernah saya lakonkan menerusi Aku Isterinya. Masakan tidak, Suzanne sanggup lakukan apa saja untuk kepentingan dirinya dan mendapatkan apa yang dia mahu, walaupun terpaksa tidur dengan ramai lelaki.

“Pada saya, menonton lakonan sendiri dalam menghayati watak Suzanne membuatkan saya geli dan jijik. Belum pernah saya melakonkan watak sejahat dan sehina itu,” kata­nya.
Artikel Selepas
« Artikel Selepas
Artikel Sebelum
Artikel Sebelum »