Waris Tak Mahu Adat Negeri Sembilan Dilupakan



“Jangan ingat orang kampung duduk di bawah tempurung. Jangan anggap orang kampung tak tahu apa-apa,” luah penyanyi rap Waris apabila dilabelkan sebagai ‘orang kampung’ oleh sesetangah pihak.

Kata Waris, dia terkejut terdapat segelintir masyarakat yang masih berfikiran sebegitu dan terlalu mudah menilai orang lain.

“Manusia suka 'judge'. Saya tak terkilan, tapi saya terkejut masih ada lagi orang yang macam tu,” katanya yang bangga membawa dialek Negeri Sembilan dalam industri hiburan.

Menurut Waris, dia ingin mengetengahkan dialek Negeri Sembilan kerana bimbang budaya dan adat negeri itu semakin dilupakan.

“Saya ada kawan-kawan dari Negeri Sembilan yang tak tahu pun bercakap dalam dialek Negeri Sembilan. Tapi Alhamdulillah, melalui lagu saya, ramai yang dah mula berborak dalam dialek itu dengan saya. Jadi, saya gembira usaha saya membuahkan hasil,” kata Waris menambah tak salah mengejar kemodenan asalkan tak lupa asal-usul.




“Saya faham mengejar kemodenan itu penting. Tapi jangan sampai lupa asal-usul. Negeri Sembilan ada adat. Jadi saya tak mahu ia mati ditelan arus kemodenan,” jelas Waris.

Dalam perkembangan lain, Waris dipertanggungjawabkan untuk membimbing dua orang peserta dalam rancangan realiti terbitan Astro Ceria, ‘Ceria Popstar’.

Walaupun kebolehannya terhad kepada menyanyi rap, namun Waris yakin dapat membantu mengasah bakat kanak-kanak di bawah bimbingannya.

“Saya tak boleh ajar menyanyi sangat sebab saya biasa ‘rapping’. Saya akan minta bantuan beberapa kawan saya dari segi teknik nyanyian dan saya juga akan fokuskan pada gubahan muzik serta mengajar mereka ‘rapping,” katanya.

Selain itu, Waris juga akan tampil dengan album sulungnya yang memuatkan 12 buah lagu termasuk ‘Gadis Jolobu’, ‘Botingkek-tingkek’ dan 'Rembau Most Wanted'.
Previous Post Next Post