Wire Fame sedia lepaskan Emma


Wire Fame sedia lepaskan Emma

EMMA MAEMBONG

SEJAK menceburi bidang lakonan kira-kira dua tahun lalu, pelakon cantik Emma Maembong antara yang paling mencuri tumpuan ramai setelah muncul dengan drama bersiri Kau Yang Terindah.

Kemudian, karier Emma atau pemilik nama sebenar Fatimah Rohani Ismail ini dalam bidang seni dilihat semakin berkembang dan akhirnya dia mengambil keputusan untuk bernaung di bawah syarikat pengurusan artis, Wire Fame Entertainment Sdn. Bhd.

Namun begitu, baru-baru ini terdengar khabar angin yang mendakwa, kini Emma sudah tidak lagi bersama syarikat tersebut dan sudah menggunakan khidmat pihak lain untuk menguruskan kerjaya seninya.

Menariknya, ini bukan kali pertama timbul cerita berkenaan pelakon itu dengan syarikat tersebut. Pada bulan Februari lalu, Emma dikatakan telah disingkir kerana sering menimbulkan masalah kepada syarikat.




Lantas, Kosmo! terus menghubungi Pengarah Urusan Wire Fame Entertainmet, Marina Juki bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung status sebenar pelakon kacukan Melayu-Scotland itu.

Kosmo!: Boleh Marina komen terhadap dakwaan yang mengatakan Emma kini sudah tidak lagi bersama Wire Fame Entertainment?

MARINA: Buat masa ini, Emma masih lagi merupakan artis di bawah naungan Wire Fame Entertainment. Bagaimanapun, tidak dinafikan kontraknya bersama kami akan tamat pada bulan Jun depan.

Bagaimanakah pula boleh timbul dakwaan sebegini terhadap Emma?

Sebenarnya Emma turut menggunakan khidmat pembantu peribadi sekarang ini. Biasanya kalau mana-mana pihak yang tidak dapat menghubungi saya berkaitan soal kerja, mereka akan cuba hubungi pula pembantu peribadi tersebut.

Jadi, mungkin ia telah menimbulkan kekeliruan sehingga menyangka Emma sudah tidak lagi bersama syarikat. Lagipun, kalau ada perkara yang berkaitan dengan pekerjaan, pembantu peribadi Emma akan terus memberitahu kepada saya atau mana-mana pekerja saya.

Memandangkan kontrak Emma akan tamat tidak lama lagi, adakah anda sudah membuat perbincangan dengan pihaknya?

Pada bulan lalu, saya dan Emma sudah melakukan perbincangan mengenai kontraknya itu. Saya ada memberitahu yang sekarang ini keputusan terletak di tangannya, sama ada mahu terus bersama kami atau dia ingin bergerak sendiri.

Selain itu, saya ada memberikan pilihan kepadanya iaitu mahu terus diuruskan sepenuhnya oleh kami atau sekadar membabitkan pengurusan penajaan produk sahaja dan kami tidak memaksanya membuat keputusan.


MARINA (tengah) bersama barisan artis yang bernaung di bawah Wire Fame (dari kiri), Zizan, Cha Cha, Emma dan Kaka.

Apakah pula jawapan Emma terhadap pilihan yang diberikan kepadanya itu?

Sehingga kini kami masih belum menerima lagi sebarang jawapan daripadanya tetapi semuanya terpulang kepada Emma sekarang ini dan kalau dia ingin berdikari kami tidak halang. Misalnya, kalau dia sudah keluar dan mahu kembali bersama Wire Fame Entertainment semula pun kami akan menerimanya.

Baru-baru ini Emma dan Zizan telah mendedahkan mengenai hubungan percintaan mereka. Memandangkan kedua-duanya bernaung di bawah syarikat pengurusan yang sama, apakah komen anda mengenai perkara ini?

Kalau berkenaan dengan perkara peribadi, pihak syarikat tidak akan masuk campur dan ia terpulang kepada diri masing-masing. Lagipun, saya berasa lega kerana akhirnya mereka mengambil keputusan untuk berterus-terang.

Bagaimanapun, saya ada berpesan kepada mereka supaya tidak campur aduk antara kerja dan peribadi. Saya tidak mahu apabila disebabkan terlalu sibuk bercinta membuatkan prestasi kerja semakin menurun.

Adakah Wire Fame Entertainmet bercadang untuk mengambil artis baharu sekarang?

Perancangan untuk menambah bilangan artis itu memang ada memandangkan kini artis di bawah syarikat ini baru ada lima orang iaitu Zizan, Johan As’ari, Kaka, Emma dan Cha Cha Maembong.

Pada bulan lalu, kami sudah membuat uji bakat untuk mencari mereka yang berminat menjadi artis iaitu penyanyi dan pelakon dan ia akan diteruskan pada bulan Mei dan Jun depan. Seboleh-bolehnya, kami ingin individu yang mempunyai bakat, ada rupa dan mampu memberikan komitmen yang baik.

Benarkah dakwaan tentang anda dan Zizan sedang berantakan sehingga mahu membubarkan Wire Fame Entertainment?

Setakat ini hubungan saya dan Zizan masih baik dan syarikat ini masih terus beroperasi seperti biasa.

Kalau perkara ini timbul kerana saya dilihat tidak bersama Zizan pergi ke mana-mana, ia tidak berasas memandangkan Zizan mempunyai pembantu peribadi sendiri dan ia memudahkan saya memberi fokus kepada artis lain di bawah naungan kami.
Previous Post Next Post