Zam bakal berentap



TIDAK menyangka dinobatkan sebagai juara Skool of Lawak, Zam lebih selesa bermula dari bawah dan belajar daripada pelawak-pelawak senior tentang selok-belok dunia komedi.

SEJAK akhir-akhir ini, banyak program pencarian bakat yang melibatkan penyertaan pelawak-pelawak amatur begitu rancak diterbitkan.

Bahkan, program yang mengundang penyertaan pelawak-pelawak profesional seperti Maharaja Lawak (ML) dan Maharaja Lawak Mega (MLM) turut mendapat sambutan hangat daripada peminat.

Bagaimanapun, percubaan Skool of Lawak untuk mengetengahkan elemen pembelajaran antara para peserta dan tenaga pengajar kurang mendapat perhatian. Selain itu, perjalanan program yang disiarkan di saluran 132 (Astro Warna) itu dilihat tidak meraih populariti setanding program-program yang lain walaupun sudah masuk minggu-minggu kemuncak.

Penerbitnya, Nizam Jamaluddin berkata, tidak adil jika penonton membandingkan Skool of Lawak dengan rancangan-rancangan komedi sedia ada kerana format yang digunakan adalah seratus peratus berbeza.




Ketepuan bakat

"Program Skool of Lawak sangat berbeza jika mahu dibandingkan dengan ML dan MLM. Program ini diterbitkan bagi mencungkil bakat-bakat baharu yang bukan sahaja boleh menghiburkan para penonton dengan lawak-lawak bersahaja tetapi turut dididik supaya mereka tidak berlawak secara kosong di atas pentas.

"Mereka yang terlibat dalam program ini bukan sahaja dibentuk untuk tujuan melawak semata- mata tetapi bakat-bakat lain seperti berlakon dan menyanyi turut diketengahkan," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar sejurus selepas tamat minggu akhir Skool of Lawak yang berlangsung di Mega- star Arena, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ketika disoal mengenai perancangan menganjurkan Skool of Lawak untuk musim yang kedua, ujar Nizam, apa sahaja kekurangan yang terdapat dalam musim yang pertama bakal diperbaiki selain merombak format sedia ada bagi musim akan datang.

"Apabila kami bercadang untuk mengetengahkan konsep seperti ini, kami telah bersedia untuk menerima sebarang kritikan terhadap apa sahaja kekurangan yang ada pada musim pertama.

"Justeru, jika diizinkan untuk menerbitkan rancangan ini untuk musim kedua, terdapat beberapa perubahan yang bakal dilakukan bagi menjamin kesegaran program ini dari musim ke musim," ujarnya.


DARI kiri: One, Zam dan Fiza bercita-cita mahu mencipta nama dalam indsutri lawak berdasarkan pengisian komedi yang berkualiti serta menerusi penyampaian yang berbeza.

Jelas Nizam, program seperti ini turut dianjurkan bagi memenuhi kekosongan bakat-bakat yang boleh melawak bagi program-program terbitan Astro Warna pada masa akan datang.

"Bakat yang ada pada mereka tidak akan disia-siakan. Ada pelbagai rancangan yang sedang dan bakal diterbitkan oleh Astro Warna memerlukan mereka mengisi kekosongan pengacara mahupun pelakon. Selain itu, kehadiran mereka turut dapat memeriahkan lagi industri hiburan tanah air," ujarnya lagi.

Pada malam tersebut, Muhammad Rizam Zaafar, 26, atau lebih dikenali sebagai Zam dinobatkan sebagai juara dan membawa pulang wang tunai RM100,000 berserta trofi.

Tempat kedua pula dirangkul oleh Filza Azmi, 25, (Fiza) manakala tempat ketiga milik Muhammad Hazwan Mohd. Azani, 27, (One). Fiza dan One masing-masing membawa pulang wang tunai RM50,000 dan RM25,000 berserta trofi.

Suka mencuba

Bagi Zam, dia tidak menyangka berjaya memenangi tempat pertama pertandingan tersebut kerana dia hanya menemani rakan baiknya sahaja ketika hadir ke sesi uji bakat beberapa bulan yang lalu.

"Waktu itu, saya datang ke sesi uji bakat untuk menemani rakan baik saya sahaja. Saya langsung tidak menyangka bakal dinobatkan sebagai juara pada malam ini.

"Walaupun sudah bergelar juara, banyak lagi yang perlu saya belajar dan perkemaskan agar kehadiran saya dalam industri hiburan dapat diterima oleh segenap lapisan masyarakat," ujar anak jati kelahiran Selangor itu.

Sebelum menyertai Skool of Lawak, Zam juga pernah mencuba nasib dengan menghadiri uji bakat bagi rancangan Raja Lawak musim yang ketiga serta program pencarian bakat popular Akademi Fantasia.

Kemenangan Zam dalam Skool of Lawak akan dijadikan tiket baginya untuk berentap bersama pelawak-pelawak berpengalaman dalam MLM musim yang akan datang.
Previous Post Next Post