Akim Ahmad Perjelaskan Salah Faham



Penyanyi dan pelakon, Akim Ahmad tampil memberi penjelasan lanjut berhubung kenyataannya baru-baru ini yang mendakwa dia berkecil hati dengan produksi Astro. Ini kerana ada pihak salah faham dengan kenyataannya dan beranggapan Akim mempunyai masalah dengan syarikat pengurusannya, Astro.

"Saya ingin perbetulkan kerana ada yang salah faham. Sebenarnya saya tiada masalah dengan pihak pengurusan saya. Astro menjaga saya dengan baik. Cuma masalahnya datang di pihak produksi Astro yang menerbitkan pelbagai program, bukan pihak pengurusan saya," luah Akim.






Adakah terdapat sesetengah pihak dengki atau kurang senang dengan Akim sehinggakan penyanyi lagu 'Bengang' ini tidak dijemput untuk menjayakan rancangan Astro selama hampir dua tahun?

"Nak cakap ada orang dengki, saya pun tak tahu nak ulas macam mana. Mungkin sebab adanya sikap 'favoritism'. Di mana-mana tempat pun, sikap itu tidak dapat dielak. Tetapi saya rasa ralat kerana saya sendiri lahir daripada program realiti terbitan produksi Astro. Apabila tidak dapat kerjasama, saya rasa kecewa. Saya sendiri pun tak tahu kenapa saya tidak terlibat dengan mana-mana program di bawah produksi Astro sudah hampir dua tahun," ujar Akim lagi.

Pelakon filem 'Hoore Hoore' ini juga menyatakan keselesaannya dalam menjadi artis naungan syarikat penyiaran itu yang sudah memasuki tahun kelima.

"Pada awalnya, kontrak saya dengan Astro termetrai selama tiga tahun. Selepas selesai kontrak pertama, saya sambung lagi lima tahun. Kini sudah memasuki tahun kedua dan kontrak masih ada baki tiga tahun. Saya selesa dengan pihak Astro yang menguruskan kerjaya saya.

Mereka bersikap adil dan tidak menyekat saya untuk tampil di stesen lain. Saya juga berterima kasih kepada pihak Media Prima kerana mereka memberikan saya semangat. Sikap keterbukaan mereka membuatkan saya rasa bersyukur," ujar Akim.

Projek baru dengan Stacy

Mengulas tentang kemenangannya di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH 2013), untuk kategori Artis Duo/ Berkumpulan Popular, Akim memberitahu dia cukup berpuas hati dengan sokongan peminat.

"Alhamdulillah, syukur. Akhirnya selepas menanti selama enam tahun, saya menerima anugerah untuk kategori ini. Saya rasa amat puas hati kerana peminat saya dan Stacy menyokong dan mengundi kami untuk kategori Artis Duo / Berkumpulan Popular ini," ujar Akim teruja.

Mengakui dirinya berasa gembira kerana gabungannya bersama Stacy diterima peminat, Akim mendedahkan yang mereka mempunyai rencana dalam menghasilkan projek duet baru.

"Kami ada rancang untuk menghasilkan single terbaru seterusnya selepas single 'Kembali'. Jika ada rezeki dan peluang, kemungkinan juga akan ada projek album duet kami berdua kelak. Siapa tahu kan? Semuanya masih dalam perancangan," ujar Akim lagi.
Previous Post Next Post