Arif Adam mencari ‘entiti’



Pasti ramai yang tertanya-tanya, siapakah gerangan pemuda ini. Bersusuk tinggi lampai dan berwajah redup, Muhd Arif Adam Mohd Fadlee, 20, dari segi luaran punya pakej untuk diketengahkan.

Memilih mempertaruhkan bakat lakonan, sebetulnya sudah setahun pemuda mesra di sapa Arif ini mengutip pengalaman bermula dengan watak sebagai pelakon tambahan. Cuma mungkin belum rezeki untuknya benar-benar menyerlah.


Diperkenalkan menerusi drama bersiri 13 episod berjudul Gerhana, pembabitan Arif dalam lapangan lakonan berlaku diduga.

“Saya akui saya minat, tetapi tak pernah terfikir hendak jadi pelakon. Bahkan sewaktu dihubungi pihak Kalam Arif Productions, saya tertanya bagaimana mereka boleh mendapat nombor telefon saya.






“Sekadar mencuba, saya hadiri uji bakat. Apa yang mengejutkan saya sangkakan mungkin watak ‘stand in’ yang hendak diberi, tetapi saya ditawarkan satu lagi peranan iaitu watak pembantu. Memang cemas juga kerana baru pertama kali dan tiada pengalaman,” katanya.


Sangkanya, mungkin drama itu yang pertama dan terakhir dibintangi. Namun, rezeki terus berpihak kepada Arif apabila dipilih menerajui drama 10 episod, Tanah Kubur musim ke-10 yang sedang bersiaran di Astro Oasis ketika ini.

Sebagaimana diketahui umum, tunjang utama drama ini dibarisi pelakon handalan, Nasir Bilal Khan dan kesempatan beraksi dengan pelakon itu semestinya satu peluang keemasan.

“Saya terbabit dalam enam episod dan dalam setiap episod terdapat babak membabitkan saya bersama abang Nasir Bilal Khan. Menjadikan saya tidak tenang hati memandangkan dalam cerita ini, saya sebagai Jamal dan adik saya membenci Tok Adi, watak dibawakan abang Nasir, jadi terdapat banyak adegan yang tegang.

“Saya menengking dan berkasar dengannya. Saya masih ingat terdapat satu babak Jamal memaki hamun Tok Adi, dek kerana terlalu menjiwai watak sehinggakan saya tertepis tangan abang Nasir walhal semua itu tiada dalam skrip.

“Pengarah juga tidak ‘uncut’ babak itu, tetapi suasana di set jadi lain apabila semua orang terdiam. Semasa rehat, saya dibebani perasaan bersalah yang amat. Saya suarakan kepada rakan pelakon, saya mahu meminta maaf, tetapi takut.

“Memikirkan saya perlu berbuat demikian saya mendekati abang Nasir dan meminta maaf di atas tidak kesengajaan saya dan dia membalas dengan jawapan ‘biasalah itu orang muda’.

“Saya terbuka, saya berharap abang Nasir tidak berkecil hati dan faham, perbuatan itu tidak disengajakan dan hanya lakonan semata-mata. Malah, saya berbangga dapat menimba pengalaman berlakon dengannya kerana lakonannya mampu kita rasa,” katanya.

Mengagumi Bront Palare dan Farid Kamil, anak jati Kuala Lumpur itu bersama empat lagi orang sahabatnya bakal mempertaruhkan filem pertama mereka, Dia Wujud bakal menjengah pawagam tempatan esok.

Dia Wujud adalah ‘footage’ video pencarian mereka berlima mengesan entiti atau makhluk halus sewaktu mengunjungi taman tema terbiar di Gombak, Selangor atau Mimaland yang cukup popular di era-70an.

“Ekspedisi kami itu diketuai sahabat saya, Yeoh. Dia ini memang jenis hati kering. Video ‘footage’ ini sudah lama dalam simpanannya sebelum filem Highlands Tower dikeluarkan lagi tetapi mungkin sebelum ini, Yeoh tidak terfikir untuk berkongsi pengalaman kami berlima kepada umum.

“Satu hari dia memaklumkan kepada saya, saya mahu berjumpa penerbit terkenal, David Teo, mana tahu David tertarik dengan rakaman mendebarkan yang dilakukan seharian di taman tema berkenaan.

“Pengembaraan bermula dari jam 10 pagi hingga keesokan harinya itu memberi pelbagai pengalaman mencemaskan dan suasana di antara kami sangat amat tegang.

“Memang sukar untuk membuktikannya dari segi visual kerana makhluk halus ini kita tak nampak, tapi ia wujud bahkan kita boleh rasa kehadirannya.

“Ada satu ‘moment’ saya dengar suara menggilai dan saya maklumkan kepada kawan saya, tetapi dia tidak mempercayainya dan apabila seorang lagi terdengar benda yang sama, kami pula meraguinya.

Tetapi mungkin ketakutan kami boleh menjadi bukti kepada penonton bahawa segala yang berlaku bukan lakonan kerana kita berlima bukan pelakon dan masa itu saya pun belum lagi aktif berlakon,” katanya agak keberatan mendedahkan intipati filem berkenaan untuk memastikan kejutan buat penonton.
Previous Post Next Post