Erin Malik bimbang



TIDAK menyembunyikan perancangannya untuk bertunang dengan kekasihnya Farriz Fauzy, 30, pelakon Erin Malek mengaku memilih Jun untuk melangsungkan majlis bahagianya itu meski ramai yang terkejut dengan keputusan drastiknya itu.

Bukan apa, Erin yang mengenali Farriz menerusi laman sosial Instagram dianggap terburu-buru membuat keputusan tersebut memandangkan tempoh perkenalannya dengan Farriz baru berusia empat bulan.

Mengaku bahawa dia sudah bersedia untuk menempuh fasa baru dalam hidupnya, menurut Erin tidak timbul soal terburu-buru atau tidak kerana apa yang hubungan seperti itu telah lama dihajatinya setelah setahun berpisah dengan bekas teman lelakinya terdahulu.

Bagaimanapun, kata Erin , awalnya dia tidak bercadang untuk menghebohkan hal pertunangan tersebut kepada umum kerana bimbang ada pihak yang tersalah anggap sekali gus timbul persepsi negatif.






"InsyaAllah, benar saya akan melangsungkan majlis pertunangan sekitar Jun ini jika tiada aral melintang. Maaf jika terlebih dahulu saya terpaksa merahsiakannya bukan kerana sengaja mahu sorok, tetapi saya bimbang orang berpandangan negatif mengenainya sekali pun hal itu sebenarnya adalah satu berita baik.

"Tahu-tahu sajalah, bila orang bercakap mengenainya, lepas tu mungkin ada yang mengutuk atau mengkritik keputusan saya ni, ia dah jadi negatif. Bila mereka cakap hal negatif, ia dah jadi satu doa, jadi saya tak mahu ia berlaku.

"Sebab itulah ada perkara yang terpaksa saya rahsiakan dan apabila tiba masanya untuk saya beritahu, saya akan cakap. Jangan risau," katanya.

Menurut Erin yang berusia 20 tahun, dia mengaku tidak boleh terlalu membuka mulut mengenai hal hubungan dan pertunangan kerana bimbang tersalah cakap.

"Apa yang saya boleh katakan, ya, masing-masing dah jumpa keluarga masing-masing dan keluarga juga sedang sibuk berurusan dan merancang mengenai majlis itu nanti.

"Yang lain-lain saya tak boleh beritahu lagi, takut salah cakap. Saya cuma minta agar semua pihak doakan yang terbaik dan majlis berjalan dengan lancar," katanya.

Tidak menafikan adanya debaran di hati tatkala majlis bakal berlangsung tidak lama lagi, kata Erin, itu adalah perkara normal yang akan dilalui oleh mana-mana wanita yang bakal menginjak ke fasa baru dalam hidup.

"Bagi saya ini perkara baik, tentulah saya gementar sebab kita dah tahu kita nak jadi isteri orang, dan ada lelaki yang nak jadikan kita isteri dia, jadi kita kena pandai-pandailah persiapkan diri untuk ke arah itu.

"Apa yang saya perlukan sekarang adalah sokongan daripada semua pihak, keluarga, rakan-rakan. Saya dah taknak dengar ada benda negatif timbul lagi, saya dah bosan dengan semua itu," katanya.

Sederhana Farriz

Sudi berkongsi sedikit sebanyak mengenai buah hatinya itu, Erin yang dalam segan memberitahu kekasihnya itu yang memiliki perniagaan sendiri merupakan seorang yang sangat sederhana dan merendah diri.

Mengaku masih banyak yang belum ‘digali' mengenai latar belakangnya, kata Erin, dia bagaimanapun menerima Farriz seadanya meski ada pihak lain yang mendakwa Farriz datangnya dari keluarga berada.

Sehingga begitu, ada pula yang menganggap kerana itulah Erin tidak menolak lamaran Farriz lantaran mengetahui lelaki tersebut berpoket tebal.

"Tidak timbul isu begitu kerana saya terima dia seadanya. Sebenarnya dalam bab-bab macam ni saya ni 'lembap' sikit. Saya tak macam sesetengah orang, nak gali dalam-dalam sangat mengenai seseorang itu. Saya suka go with the flow. Kalau dia nak beritahu dia akan cakap.

"Kalau ada yang kata saya nak dia sebab duit, maaf, saya tak perlukan apa-apa dari dia. Saya sendiri pun bekerja dan tahu cari duit sendiri. Saya seorang wanita yang berdikari. Cukuplah asal saya dapat membuatkan ibu saya gembira," katanya.

Namun, kata Erin, apa yang paling terkesan di hatinya adalah tindakan Farriz yang mahu serius dalam hubungan itu.

"Awal-awal perkenalan lagi sebenarnya saya dah tetapkan, kalau sekadar nak main-main saya tak mahu. Saya nak kahwin dan ada komitmen, kalau dia tak boleh nak beri komitmen, maka saya tak kisah kalau dia nak bawa haluan sendiri.

"Namun, dia jawab, dia juga mahu kahwin memandangkan usianya juga sudah 30 tahun, jadi dia sudah bersedia untuk berkahwin. Itu yang membuatkan saya yakin dengan dia," katanya yang gembira kerana Farriz juga menyokong kerjayanya sebagai anak seni.
Previous Post Next Post