Farish Aziz Bergilir-gilir jaga anak



Demi kasihnya pada anak, pengacara dan pelakon Farish Aziz nekad menetap di Kota Kinabalu, Sabah meskipun sedia maklum peluang mengembangkan karier lebih cerah jika menetap di Kuala Lumpur.

Sedar tidak sedar, sudah tiga tahun dia berkampung di tempat kelahirannya. Hari-hari dilalui bersama isteri tercinta, Zahrah Fowzi semakin indah dengan kehadiran bayi comel diberi nama Aydan Naeem Mohd Farish, 3 bulan.




Anugerah itu me–nyuburkan perasaan sayangnya hingga tidak boleh berjauhan dengan keluarga. Baginya, Zah­rah dan Aydan cinta hatinya dan tidak sempurna hari-hari dilalui tanpa mereka di sisi.

Katanya, dia tidak pernah kesal dengan keputusan itu kerana anaknya masih kecil dan perlukan lebih perhatian.



“Saya tidak mahu terlepas detik penting bersamanya. Kalau boleh, saya mahu jadi orang pertama menyaksikan perkembangannya setiap hari.

“Bergelar abah perkara ter­indah yang pernah berlaku dalam hidup saya yang tidak pernah merasai kasih sayang ayah dari kecil. Detik ini sangat bererti hingga segala perhatian saya ditumpahkan kepada Aydan,” katanya.

Kata Farish, dia tidak betah berjauhan dengan Aydan. Perasaan rindu menggebu-gebu di hati jika keluar bekerja. Katanya, apabila pulang ke rumah, perkara pertama dilakukan adalah memeluk Aydan.

Memandangkan isterinya bekerja, Farish tidak kisah bergilir-gilir menjaga Aydan, malah tidak kekok memandikan, menukar lampin atau berjaga malam untuk menyusukan permata hatinya.

“Saya dan isteri bergilir-gilir jaga Aydan. Saya bangun jam 4.30 pagi untuk bersiap ke tempat kerja. Sebelum bergerak, saya main-main dulu dengan Aydan. Jam lapan, isteri keluar bekerja dan Aydan dijaga ibu saya, ibu mentua atau adik ipar.

“Jam 2 petang, saya balik kerja dan jaga Aydan. Sebelum isteri sampai rumah, saya mandikan Aydan dan siapkan apa yang patut.

“Aydan sudah pandai senyum dan ketawa. Itu yang buat saya makin rindu bila keluar bekerja. Dia jadi penawar saya dan isteri, hilang segala rasa penat apabila melihat wajahnya,” katanya.

Kata Farish, dia juga bertuah kerana keluarga banyak membantu. Aydan jadi buah hati semua, apatah lagi dia cucu pertama keluarga isterinya.

Sejak Mac lalu, Farish menjadi penyampai radio Suria FM Sabah dan menghangatkan program Ceria Pagi Sabah. Sebelum ini, Farish pernah bertugas di stesen radioberkenan pada Julai 2011 sehingga Disember 2012.

Lamaran Suria FM disambut dengan tangan terbuka kerana dia selesa bekerja dengan stesen radio itu. Katanya, penghujung 2012, program pagi Suria FM Sabah dihentikan dan dia ditawarkan bertugas di Kuala Lumpur, tetapi tawaran
itu terpaksa ditolak kerana tidak mahu berjauhan dengan isteri.

“Apabila program ini kembali beroperasi, saya dipanggil semula dan bermulalah tugas di konti bersama teman setugas, Rey. Saya berbesar hati Suria FM mengotakan janji mahu panggil saya jika ada segmen pagi.

“Segmen Ceria Pagi Sabah bermula jam 6 pagi dan tamat jam 10 pagi setiap Isnin hingga Jumaat. Biasanya jam 5.15 atau 5.30 pagi saya ada di konti.

“Di sini (Kota Kinabalu) kami guna dialek Sabah. Kami akan ketengahkan maklumat terkini setempat dan ada juga isu nasional.

“Di Semenanjung, segmen pagi dikendalikan Adibah Noor dan Halim Othman bermula jam 5.30 pagi, jadi kami dengar celoteh mereka sehingga jam 6 pagi. Mana isu menarik, kami ambil dan ketengahkan di sini,” katanya.

Katanya, ketika mula bertugas di stesen itu, ramai menyangka dia orang luar dan tidak percaya dia dilahirkan di Kota Kinabalu kerana dialeknya kurang pekat berbanding Rey. Apabila dijelaskan dia anak jati Sabah, kehadirannya diterima baik pengikut setia radio itu.

“Mula-mula dulu orang tak percaya saya orang Sabah tapi apabila mereka dengar betul-betul dialek saya, baru tahu saya anak jati Kota Kinabalu. Ray orang Dusun, jadi dialeknya lebih pekat

“Kami berdua juga gandi-ngan serasi. Saya selesa bekerja dengannya kerana gabungan idea kami menjadikan program ini lebih dinamik.

“Saya juga bersyukur rezeki sebagai pengacara tidak pernah putus meskipun tidak menetap di luar Kuala Lumpur. Andai ada komitmen, saya akan terbang ke ibu kota pada Khamis atau Jumaat dan kembali semula ke Sabah pada Ahad kerana Isnin perlu ada di konti,” katanya.

Apabila usia mencecah 30 tahun, Farish banyak diberi peluang mengendalikan program kanak-kanak. Katanya, pengalaman lapan tahun dalam bidang pengacaraan memudahkan tugasnya mengendalikan program kanak-kanak, apatah lagi kini bergelar bapa.

“Seronok bekerja dengan kanak-kanak, langsung tak ada tekanan. Berlakon setakat ini belum ada tawaran. Kalau ikutkan, saya memang rindu berlakon. Kali terakhir beraksi pada Mei 2011 menerusi telefilem Simpang Jalan untuk Astro Prima.

“Andai ada tawaran, saya memang mahu dan berharap diberi watak lebih matang. Sebelum ini saya banyak bawa watak remaja dan pelajar kolej. Teringin cuba sesuatu yang lebih serius, sesuai dengan usia dan status saya kini,” katanya.
Previous Post Next Post