IKIM fm anjur persembahan Hari Ibu



Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM fm) akan menganjurkan sebuah persembahan sempena meraikan Hari Ibu yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini pada 10 Mei ini pukul 8 malam.

Pengarah Pusat Media IKIM, Dr. Nik Roskiman Abd. Samad, berkata bagi menarik perhatian peminat institut itu akan membawa seorang penyanyi antarabangsa dari United Kingdom (UK) iaitu Saif Adam pada persembahan tersebut.

Menurutnya, pada Majlis Makan Malam Amal - Ibu Ratu Hatiku itu, IKIM akan bekerjasama dengan Islamic Aid Malaysia (IAM) bagi menjayakan majlis yang bertujuan mengutip dana bagi membantu golongan ibu tunggal dan fakir miskin.




"Ini bukan kali pertama IKIM menganjurkan majlis seperti ini. Tetapi sebelum ini kami pernah menganjurkan majlis yang sama yang dijayakan oleh Datuk Sharifah Aini pada 2 Julai 2011 dengan tagline Hapuslah Air Matamu.

"Selain Saif Adam, pada persembahan terbaharu anjuran IKIMfm itu nanti kami akan menampilkan juga penyanyi seperti Hafiz Hamidun dan Pencetus Ummah, Rahmat bagi memeriahkan lagi persembahan itu," katanya.

Majlis Makan Malam Amal - Ibu Ratu Hatiku itu akan mengenakan bayaran melalui jualan meja berharga dari RM1,500 hingga RM2,000 yang mana bilangan penonton terhad kepada 500 orang sahaja.
Previous Post Next Post