Neelofa Mahu Fokus Mengacara



Setelah dua tahun tidak berjaya membawa pulang sebarang trofi, akhirnya Neelofa meraih kejayaan apabila dia dinobatkan sebagai Pengacara Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 yang berlangsung pada Sabtu lalu.

“Jiwa saya dalam bidang pengacaraan. Memang dari awal penglibatan saya bermula dengan pengacaraan. Tapi rezeki lebih kepada bidang lakonan, maka jenama Neelofa itu sendiri sudah melekat pada lakonan. Tapi untuk matlamat jangka masa panjang, saya mahu fokus pada pengacaraan,” kata Lofa yang menewaskan gandingannya dalam rancangan Nona, Fara Fauzana.

Tambah Lofa, dia tidak pernah berniat menyaingi Fara Fauzana. Sebaliknya pasangan pengacara ini sentiasa menyokong kerjaya masing-masing.






“Saya sangat rapat dengan Fara dan kami saling menyokong satu sama lain. Tapi bagaimanapun, semuanya tergantung pada rezeki,” jelasnya.

Menurut gadis ini lagi, dia sendiri tidak menyangka akan menang kerana Fara Fauzana sudah sekian kali memenangi kategori tersebut.

“Saya tak menjangka langsung sebab dah dua tahun tiada rezeki di ABPBH. Saya datang pada malam ni pun sebab nak jumpa kawan-kawan sambil mempromosikan perniagaan saya. Tapi Alhamdulillah, apabila diiktiraf begini saya sangat bersemangat untuk menjadi lebih baik,” ujar Lofa usai majlis anugerah tersebut.
Previous Post Next Post