Nik Michael Imran kongsi ilmu



Dia tidak mendapat pendidi­kan formal dalam bidang kulinari. Namun kerana minat, dia mempunyai restoran sendiri, kemudian diberi kepercayaan mengacarakan program memasak.

Terbaru, dia diundang menjadi juri program Kan Cheong Kitchen. Tentu ia pengalaman mencabar buat Nik Michael Imran Nik Ezar, 25, yang dikenali menerusi program Dapur Panas, Helo Bro... Tolong Masak! dan Tea Twist menerusi Asian Food Channel.
Katanya, dia menerima tang­gungjawab menjadi juri tetap program itu kerana ingin menjadi sebahagian daripada produk tempatan yang ditayangkan menerusi televisyen. Ia juga memberi pe­ngalaman berguna dalam kariernya.

“Mulanya, saya terlalu tegas dengan peserta kerana terbiasa dengan cara memasak menggunakan teknik betul seperti cara memegang pisau atau memotong ayam.




“Bagaimanapun, saya sedar cara itu salah kerana Kan Cheong Kitchen adalah program santai dan kelakar. Tidak perlu memaksa mereka mengikuti cara betul kerana mereka bukan ingin menjadi tukang masak profesional.

“Melihat cara mereka memasak menyebabkan saya tanya diri sendiri mengenai pengetahuan saya terhadap bidang kulinari.

“Walaupun mereka tidak pandai memasak, hidangan disediakan masih boleh dimakan,” kata anak sulung daripada enam beradik ini sambil ketawa.

Penjurian anak muda berdarah Melayu-Inggeris (Australia) ini berbeza dengan pertandingan memasak program televisyen. Katanya, dalam pertandingan ini, komen diberi harus meliputi fakta yang menyokong kritikan mengenai hidangan disediakan.

“Saya pernah menjadi hakim untuk pertandingan memasak tetapi untuk televisyen, ini yang pertama. Di televisyen, setiap komen perlu diterangkan secara jelas supaya mereka dan penonton tahu peringkat yang salah dan cara memperbaiki.

“Kalau pertandingan anjuran luar, saya tidak boleh terlalu memberi kritikan kasar. Perlu jaga hati peserta kerana selepas tamat pertandingan itu, akan ada masa untuk berjumpa dan bercerita dengan mereka. Kalau komen lebih-lebih, nanti lain jadinya,” seloroh Nik.

Tambah Nik, menjadi juri pertandingan membuatkan dia sedar tidak ada seorang pun yang tidak pandai memasak. Mungkin tahap mereka tidak mampu mencapai sehingga ke tukang masak profesional, namun masih boleh me­nyediakan menu lazat.

Katanya, pembabitan dalam Kan Cheong Kitchen yang kini kembali selepas lima tahun berehat bukan untuk membuktikan kemahirannya dalam bidang kulinari diiktiraf orang ramai.

“Saya menerima tawaran itu untuk berkongsi pengetahuan mengenai kulinari. Berganding dengan Anis Nabilah, dia me­nyuntik lebih pada elemen profesionalisme. Saya pula lebih pada cara penyediaan makanan untuk restoran.

“Bukan saya mengangkat diri katakan cukup layak mengadili masakan orang, tetapi ingin berkongsi sedikit ilmu yang ada. Untung untuk diri sendiri juga kerana dapat menimba pengalaman.

Tiga tahun bersahabat dengan Anis tidak bermakna mereka sependapat selepas mencuba menu disediakan peserta. Masing-masing mempunyai pandangan tersendiri dan membuat mereka berselisih pendapat.

Namun, atas dasar sahabat, perselisihan itu tidak memberi kesan. Justeru secara tidak langsung menambah pengetahuan mereka, ter­utama Nik.

“Kami banyak bertukar-tukar fikiran serta saling memberi tunjuk ajar cara penyediaan menu, tapi selalunya saya yang banyak bertanya. Dia sudah lama menjadi chef. Tambah pula dia mempunyai sijil dalam kulinari,” katanya.

Kan Cheong Kitchen yang disiarkan setiap Rabu, jam 9.30 malam menerusi 8TV sejak 2 April lalu, masih mengekalkan konsep setiap kumpulan perlu menghantar seorang wakil sebagai tukang masak dan seorang lagi bertindak sebagai pemberi arahan untuk memasak resipi disediakan. Ia dihoskan Prem Shanker dan Megan Tan.
Previous Post Next Post