Nina Iskandar Berhijab Seikhlas Hati



Pelakon filem ‘Lu, Gua Bro!’ yang berasal dari Brunei, Nina Iskandar menjelaskan dia mengambil keputusan untuk berhijab bukanlah semata-mata kerana menghormati perlaksanaan undang-undang syariah di negara kelahirannya, tetapi perubahannya itu datang daripada hatinya sendiri.

“Saya akui, antara sebab awal yang mendorong penampilan terbaru saya adalah untuk menghormati perlaksanaan undang-undang syariah negara Brunei yang baru sahaja berkuatkuasa. Rasanya kalau saya tidak mula sekarang, bila lagi? Satu hari itu, saya cuba memakai hijab sebelum keluar rumah. Hati saya rasa tenang sahaja,” ujar Nina ketika ditemui di acara karpet merah Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Sabtu.






“Hari seterusnya, saya rasa mahu mencuba lagi. Perkara itu berlarautan. Jadi akhirnya, saya rasa sudah mula suka dengan penampilan ini. Perubahan yang berlaku ini seperti datang daripada hati saya sendiri dan sehingga sekarang saya rasa selesa dalam mengenakan hijab,” jelas pelakon filem ‘Pengantin Malam’ ini lagi.

Mengulas mengenai pandangan pihak pengurusannya, MIG apabila Nina tampil dengan imej bertdung, Nina mengakui tiada sebarang halangan daripada pihak pengurusannya itu, malah mereka menyambut baik keputusan yang Nina lakukan.

“Saya masih mengikuti undang-undang asal negara Brunei. Bagi saya, perlaksanaan undang-undang syariah itu tiada kena mengena dengan pakaian pun, tapi bagi pendapat saya, memang eloklah sekiranya wanita berpakaian mengikut lunas undang-undang yang telah pun ditetapkan,” katanya.

Bercakap mengenai soal hubungan cintanya bersama dengan seorang ahli perniagaan bernama Ahmad Heiqal, Nina mengakui mereka masih belum punya perancangan untuk menamatkan zaman bujang pada masa terdekat.

Terdahulu, Nina pernah dikaitkan dengan anak tiri Datuk Siti Nurhaliza, Adib Khalid. Namun begitu, Nina menangkis gosip tersebut dan ARTISMELETOP pernah melaporkan yang Nina sudah pun dirisik pada Januari lalu oleh Heiqal. Nina bakal mengikat tali pertunangan dengan jejaka pilihan hatinya itu pada Ogos hadapan.
Previous Post Next Post