Usia Bukan Penghalang Buat Hadee



Pendatang baru dunia hiburan, Hadee atau nama sebenarnya, Mohd Mahadi Ismail, 40, menjelaskan faktor usia bukanlah penghalang untuk dirinya memulakan langkah pertama bergelar penyanyi.

“Ada yang bertanya kepada saya, kenapa baru sekarang saya mengeluarkan album, di usia 40 tahun. Jawapan saya mudah iaitu rezeki saya untuk merakamkan lagu dan mengeluarkan album baru tiba sekarang. Alhamdulillah, saya rasa bersyukur kerana selepas tiga bulan proses untuk menyiapkan album, akhirnya buah tangan pertama saya dilahirkan,” ujar Hadee ketika ditemui di majlis pelancaran album Hadee di Khadijah’s Kitchen, Jalan Genting Klang pada Selasa.

Sebelum membuka langkah dalam pembikinan album sulungnya, Hadee merupakan penyanyi kelab malam di serata Semenanjung Malaysia. Hadee juga pernah berguru dan menimba ilmu mengenai muzik dengan komposer Rahim Othman. Hadee mahu dikenali sebagai seorang penyanyi yang membawakan lagu genre rock.






Terdapat lima buah lagu yang terkandung dalam album pertama Hadee iaitu ‘Selagi Ada’, ‘Pengacau’, ‘Gadis Melayu’, ‘Buatmu’ dan ‘Kesetiaan’. Jika dilihat, tiga judul lagu dalam album Hadee pernah digunakan oleh artis-artis terkemuka sebelum ini sebagai tajuk lagu mereka.

‘Kesetiaan’ merupakan tajuk lagu nyanyian Siti Sarah, ‘Selagi Ada’ pula tajuk lagu nyanyian Ning Baizura sementara ‘Gadis Melayu’ tajuk lagu nyanyian Othman Hamzah. Adakah Hadee tidak risau lagu-lagu tersebut akan disamakan dengan lagu-lagu penyanyi lain?

“Saya sedar ada lagu-lagu nyanyian artis ternama mempunyai tajuk yang sama dengan lagu-lagu saya. Namun begitu, saya yakin dengan melodi, muzik dan lirik lagu saya. Ada sesuatu yang menarik cuba saya tonjolkan menerusi album saya ini,” ulas Hadee lagi.

Album Hadee akan diedarkan oleh pihak Warner Music Malaysia sementara urusan promosi dan publisiti bakal dikendalikan oleh pihak Kit Entertainment.

“Saya berharap agar produk pertama saya ini akan dapat memberi impak yang baik serta dapat respon yang positif dan memberangsangkan. Diharap peminat-peminat di luar sana dapat menerima kehadiran saya dalam industri hiburan, terutamanya peminat muzik irama rock,” ujar Hadee mengakhiri perbualan.
Previous Post Next Post