Zain Saidin enggan padam gambar



ZAIN mendedahkan yang Che Ta berharap agar bayi dalam kandungannya itu adalah perempuan.

TIGA hari lalu, pelakon Zain Saidin dan isterinya, Rozita Che Wan atau Che Ta telah berkongsi gambar romantis mereka di laman sosial Instagram masing-masing iaitu @rozitachewan1 dan @therealzainsaidin.

Bagaimanapun, ada segelintir pengikut Che Ta dan Zain di laman Instagram yang kurang senang melihat gambar tersebut kerana ia memaparkan pasangan popular itu terbaring romantis di atas katil yang dipenuhi kelopak bunga ros ketika bercuti di Koh Samui, Thailand.

Antara kritikan yang ditulis, gambar mesra suami isteri tidak wajar dikongsikan kepada umum.

Pada masa yang sama, ada juga segelintir pengikut yang menyukai gambar tersebut dan mengatakan tiada masalah untuk pasangan itu memuat naik gambar romantis kerana mereka ‘halal’ untuk berbuat demikian.



Bagaimanapun, ARTISMELETOP! terpanggil untuk mendapatkan reaksi Zain berhubung perkara tersebut kerana gambar di Instagram Che Ta itu mendapat komen sehingga 358 orang setakat petang semalam.

Zain yang ditemui pada majlis pelancaran rancangan Oh My English! musim ketiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Serdang, Selangor, menjawab mengenai kontroversi gambar tersebut.






ARTISMELETOP!: Ramai yang kurang senang apabila kalian memuat naik gambar romantis di atas katil di laman sosial Instagram. Komen?

ZAIN: Sejak dulu lagi, apa sahaja gambar yang Che Ta kongsikan di laman Instagramnya pasti mencetuskan kontroversi, sedangkan kami sekadar teruja ingin berkongsi gambar percutian kami.

Bagaimanakah penerimaan anda dan juga Che Ta berhubung komen negatif yang dilemparkan? Adakah Che Ta terganggu dengan komen-komen tersebut?

Tidak, dia seperti biasa. Kami juga tidak berbincang langsung mengenainya.

Adakah kalian akan memadamkan gambar romantis di atas katil itu?

Selagi ia tidak mengganggu dan mendatangkan mudarat, gambar tersebut tidak akan dipadamkan.

Mungkin selepas ini anda akan lebih berhati-hati memuat naik gambar seperti itu?

Saya tetap akan memuat naik gambar romantis bersamanya, asalkan gambar tersebut tidak menunjukkan bahagian yang melampau.

Boleh kongsikan mengenai percutian di Koh Samui?

Memandangkan Che Ta mengandung tiga bulan, percutian kami tidak melibatkan aktiviti lasak. Kami buat aktiviti yang dia larat sahaja.

Bagaimanakah keadaan Che Ta sekarang?

Ketika ini dia cepat penat. Ya lah, setelah 16 tahun dia kembali mengandung, mungkin disebabkan itu dia berasa cepat penat. Mood dia juga tidak menentu.

Adakah anda tidak sabar untuk mengetahui jantina bayi yang bakal dilahirkan Che Ta?

Memang saya berdebar untuk tahu jantina bayi kami. Sebabnya, Che Ta sangat berharap dapat anak perempuan. Saya tidak mahu dia kecewa seandainya bayi yang dikandungnya itu lelaki.

Sudah buat sebarang persiapan untuk kehadiran bayi?

Selagi belum tahu jantina, kami tidak mahu membuat sebarang persiapan. Bagaimanapun, ketika berkahwin pada 11 Disember tahun lalu, kami ada menerima hadiah katil bayi. Kemungkinan kami akan beli sebahagian barang-barang bayi nanti di luar negara.

Bagaimanakah perasaan anda apabila dapat kembali menjadi Mr. Henry Middleton dalam Oh My English! musim ketiga?

Saya gembira kerana sekali lagi beraksi dalam Oh My English! musim ketiga. Walaupun banyak tawaran lain yang datang tetapi tahun ini fokus hanya pada Oh My English! kerana penggambaran masih berlangsung dan terpaksa mengekalkan warna rambut perang.

Jika mereka sanggup terima warna rambut perang ini, saya terima tawaran untuk berlakon sebarang drama mahupun telefilem yang lain. Sebabnya, saya malas hendak menukar berkali-kali warna rambut saya.
Previous Post Next Post