Zara Zya: Saya tak perlu kontroversi



“SAYA tidak perlukan kontroversi untuk berjaya dan popular dalam bidang seni sebaliknya ia kena hadir dengan usaha yang bersungguh-sungguh.

"Lagipun, kontroversi yang tidak sihat boleh menjejaskan imej diri sendiri dan keluarga," tegas aktres jelita, Zara Zya dalam cubaannya menerima perhatian daripada peminatnya.

Selepas popular dalam drama bersiri Love You Mr Arrogant, nama Zara semakin mencuri hati peminatnya, malah kehadirannya dalam persada seni semakin disedari dari hari ke hari.






Bahkan, Zara juga merangkul kejayaan menerusi Artis Baharu Meletop dan Artis Top Top Meletop (Wanita) dalam Anugerah Meletop Era 2013 dan terbaharu meraih gelaran Artis Baru Wanita Popular.

"Saya tahu perjalanan seni saya agak lewat untuk dikenali ramai, tetapi ia tidak menjadi satu masalah.

"Bersabar, pasti akan ada hasil kerja yang bagus sekali gus membuktikan ia layak untuk diterima peminat dan ikhlas dalam segala kerja yang dilakukan," katanya.

Tambahnya, peminat kini sudah pandai menilai dan memberikan komen terhadap hasil lakonan seseorang artis itu.

Jelasnya lagi, biarpun kini dia sudah semakin dikenali ramai, namun dia masih lagi orang yang sama seperti dahulu.

Malah, dia lebih selesa menjadi diri sendiri daripada berpura-pura ketika berada di tempat umum.

"Saya tidak berharap untuk diangkat tinggi, apa yang bezanya adalah kerjaya saya, orang lain nampak.

"Saya masih lagi orang yang sama. Saya tidak rasa saya sudah popular," katanya.

Mahu jadi pelakon versatil

Dalam perkembangan lain, Zara bakal terlibat dalam penggambaran drama bersiri 13 episod, Delina, untuk tayangan di TV9 tidak lama lagi.

"Ini adalah drama bersiri kedua yang saya lakonkan selepas Love You Mr Arrogant.

"Sebelum ini, saya hanya berfokus pada telefilem kerana tidak bersedia untuk menerima sebarang drama berepisod.

"Kiranya, saya perlu merehatkan fikiran buat beberapa ketika supaya dapat melahirkan kerja yang berkualiti agar ia meninggalkan kesan yang cukup mendalam pada peminat," katanya.

Tambah Zara, dia berhasrat untuk terus memperbaiki mutu lakonannya selain mempelbagaikan watak.

"Saya tidak mahu terikat dengan watak-watak seperti sebelum ini.

"Saya juga mahu dikenali sebagai pelakon yang versatil, " katanya.
Previous Post Next Post