Adira Bimbang Orang Meluat



PELANTUN Ombak Rindu, Adira tidak pernah lokek berkongsi kisah percintaannya kepada umum sebelum ini.

Namun, awal Februari lalu, Adira mengambil langkah membuang gambar bersama kekasih baharunya yang juga merupakan Presiden Gerakan Belia Gagasan 1 Malaysia (GBG1M), Shahrul Nasrun Kamarudin, selepas dia menerima komenkomen negatif daripada peminat.

Tindakannya itu terus menyebabkan orang ramai beranggapan hubungan mereka sudah berakhir.

Baru-baru ini, ketika menemui Adira di pelancaran album sulungnya, Dewi Cinta, Adira enggan lagi mendedahkan kisah cintanya kepada umum kerana bimbang peminat naik meluat.

“Semua orang sudah tahu hal ini dan bagi saya tidak perlulah diperbesar-besarkan.

“Saya bukanlah orang yang suka berahsia.

Seperti manusia biasa yang lain, kalau saya asyik saja mendedahkan hal peribadi saya, nanti lama-kelamaan tentu orang naik meluat.” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album sulung, Dewi Cinta dan showcase di Saloma Bistro, baru-baru ini.






Adira lebih berhati-hati

Pernah kecundang menjalinkan hubungan cinta dengan beberapa jejaka sebelum ini, maka tidak hairanlah mengapa penyanyi kelahiran Sabah ini dilihat semakin berhati-hati berkongsi kisah peribadi.

Enggan lagi mencanangkan kisah cintanya, Naib Juara Akademi Fantasia musim ke lapan ini, memberitahu, cukuplah jika peminat hanya tahu dia sedang berkawan dengan siapa.

"Apa yang boleh saya katakan, hubungan kami memang berjalan dengan baik. Kalau ada orang yang tahu, tahu la. Kalau tidak tahu pun tidak apa dan kalau ada yang nak teka-teka pun boleh juga.

"Kalau nak tahu selanjutnya bolehlah tengok di Instagram saya”, katanya sambil tersenyum.


Siapa Dewi Cinta?

Menyentuh berhubung album sulungnya yang hanya dilancarkan selepas empat tahun berkecimpung di dalam dunia nyanyian, Adira berkata, ia merupakan satu penantian besar buatnya.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana mempunyai pengurusan yang banyak membantu dan gembira walaupun album lambat keluar tetapi saya berpuas hati," kata anak kelahiran Sabah berusia 23 tahun ini.

Menurut Adira, album ini mengambil masa yang agak lama untuk dilancarkan kerana ia memerlukan masa yang lama untuk mengumpul bahan dan mencari lagu yang sesuai.

"Bukan mudah untuk mencari lagu yang sesuai dan boleh diterima dan disukai oleh orang ramai khususnya peminat saya.

"Oleh itu, saya lebih menitik beratkan pemilihan lagu dalam album ini," katanya.

Album sulung Adira sepatutnya dilancarkan bulan lalu, tetapi terpaksa ditangguhkan di atas sebab-sebab tertentu.

Menurutnya, pemilihan nama Dewi adalah merujuk kepada dirinya, manakala Cinta merujuk kepada maksud cinta secara umum.

Album berkonsepkan Balada ini juga mempertaruhkan 10 buah lagu, yang mana lima lagu baru dan lima lagi lagu lama dan turut menampilkan ramai komposer dan penulis lirik terkenal.

"Kesemua lagu di album ini mengisahkan lagu cinta. Dewi Cinta adalah kisah percintaan seorang wanita yang mati dan tidak ditemui," katanya.


Lagu ciplak?

Mengulas berhubung lagu Dewi Cinta yang kedengaran agak sama dengan lagu Agnes Monica, Adira berkata, lagu itu sudah direkodkan sejak tahun lalu.

"Sebelum saya rakam lagu ini pun, lagu ini sudah lama.

"Bagi saya, lagu ini mungkin kedengaran agak sama, cuma pembawaan yang berbeza," katanya.

Menurutnya, lagu ini sememangnya asal seperti itu dan ia merupakan antara lagu kesukaan saya di dalam album ini.

Beralih mengenai lakonan, Adira berkata, dia tidak memilih watak sekiranya ditawarkan untuk melakonkan mana-mana watak dalam filem mahupun drama.

"Apa yang penting, watak itu saya suka. Kalau watak itu dipaksa-paksa kita tidak suka pun nanti tidak jadi juga.

"Cuma buat masa ini, saya tidak mampu lagi memegang dua-dua bidang dalam satu masa kerana berlakon memerlukan komitmen yang tinggi," katanya ketika ditanya berhubung watak yang diingini untuk dipegangnya.

Menurutnya, satu-satunya halangannya adalah untuk kekangan masa.

"Namun, jika ada rezeki, peluang dan masa, saya tidak akan menolak," katanya yang pernah ditawarkan berlakon.
Previous Post Next Post