Anak teruja Mark Wahlberg jadi Cade Yeager



TRANSFORMERS: Age Of Extinction disifatkan sebagai sekuel terbaik filem ini berbanding tiga sekuel sebelum ini.

Hebat dan cukup serasi. Itulah perkataan yang sesuai untuk menggambarkan kehadiran aktor Mark Wahlberg dalam filem sekuel keempat Transformers iaitu Transformers: Age Of Extinction.

Jika dalam tiga sekuel filem Transformers sebelum ini iaitu Transformers (2007), Transformers: Revenge of the Fallen (2009) dan Transformers: Dark of the Moon (2011) peminat sudah sebati dengan lakonan aktor Shia LaBeouf, namun kemunculan Mark sebagai Cade Yeager memberi nafas baharu dalam filem arahan Michael Bay itu.






Pada usia 43 tahun, Mark masih mampu kelihatan seksi dan menarik di layar perak. Tiada alasan untuk peminat tidak menyukai watak bapa tunggal yang dibawakan Mark.


SUDAH berusia 43 tahun, Mark Wahlberg diberi kepercayaan menjadi Cade Yeager dalam sekuel keempat Transformers: Age Of Extinction.

“Ya, saya sudah tua tetapi saya selesa pada usia saya sekarang. Bagi saya tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda,” katanya.

Bercerita tentang penglibatannya dalam filem Transformers, Mark memberitahu dia tidak berfikir panjang apabila tawaran diberikan oleh pengarah, Michael Bay.

“Sejujurnya, apabila Michael menawarkan watak itu kepada saya, orang yang paling seronok ialah empat orang anak saya.

“Bagi mereka Transformers itu hidup. Jadi, apabila bapa mereka sendiri terlibat sebagai hero dalam filem itu, ia sesuatu yang amat bermakna bukan sahaja buat saya tetapi juga keluarga saya,” ujarnya.

Selain Mark, empat anaknya turut berlakon dalam filem sekuel keempat itu.

“Ya, anak-anak saya turut terlibat dalam beberapa babak tetapi pada akhirnya babak yang dilakonkan mereka telah dipotong oleh pengarah.

“Agak sedih tetapi pengalaman dapat terlibat dalam filem Transformers sesuatu yang amat berharga buat mereka. Saya sebagai bapa juga seronok sepanjang penggambaran kerana tahu anak-anak saya cukup berbangga dengan penglibatan bapa mereka dalam filem Transformers,” balasnya.

Bercerita lanjut tentang wataknya sebagai Cade Yeager, bapa tunggal kepada Tessa lakonan aktres remaja, Nicola Peltz, Mark mengatakan mereka berdua cukup serasi bersama sebagai keluarga di layar perak.


SELAIN Mark, empat orang anaknya turut terbabit di dalam sekuel Transformers ini.

“Apabila pengarah memberitahu yang dia berminat untuk mengambil Nicola sebagai anak saya di dalam filem, saya orang yang paling seronok.

“Saya sudah mengenali Nicola sejak dia berusia 13 tahun lagi dan keluarganya cukup rapat dengan saya. Jadi, apabila bergandingan sebagai bapa dan anak, bagi saya kami berdua cukup serasi,” ujarnya yang cukup kagum dengan disiplin yang ditonjolkan aktres muda itu sepanjang penggambaran.

Apabila disoal, adakah Mark serupa dengan watak dalam filem itu, tanpa berlengah Mark memberitahu, dia dan watak Cade Yeager tiada perbezaan.

“Apa yang membuatkan saya cukup serasi dengan watak Cade Yeager ialah saya tidak perlu berlakon menjadi orang lain.

“Saya menjadi diri saya sendiri. Sebagai bapa, saya akan lakukan apa sahaja untuk memastikan keselamatan dan kebahagiaan anak saya, begitu juga dalam filem tersebut,” luahnya yang juga seorang penerbit filem.

Filem Transformers: Age Of Extinction yang telah mula ditayangkan pada Khamis lalu dirasakan lebih hebat daripada segi efek dan jalan ceritanya. Kemunculan Mark, tidak ada cacat celanya bahkan menjadikan filem ini lebih menarik daripada tiga filem sekuel sebelum ini.
Previous Post Next Post