Diana Danielle cemburui Nora Danish


Diana Danielle

MINGGU lalu, nama Diana Danielle heboh diperkatakan selepas dia meluahkan perasaan tidak puas hati di laman sosial Instagram selepas pelakon Nora Danish memuat naik gambar promosi filem Pengantin Malam yang memperlihatkan aktres itu memegang tangan suaminya.

Kesempatan bertemu pelakon berusia 24 tahun itu di majlis pelancaran produk terbaharu Lip Ice di Hampshire Place, kelmarin, digunakan pihak media untuk bertanyakan lebih lanjut mengenai perkara itu.

Namun tidak seperti suaminya, Farid Kamil dan Nora yang mudah memberikan jawapan profesional, Diana pula memberikan reaksi kurang senang tatkala ditanyakan mengenai perkara itu.

Yang kedengaran hanyalah, “Tiada komen. Terima Kasih," ujarnya yang dikata berulang-ulang sebaik di tebak media.

Bukan itu sahaja, tindakan pengurusnya yang juga merupakan adik iparnya, Fadzil Zahari menghentikan temu bual dan mengajak Diana beredar menimbulkan sedikit rasa kurang senang.






“Okay, masa lima minit dah tamat,” ujar Fadzil lalu berdiri dan mengajak Diana beredar.

Sebelum ini, tindakan Diana memuat naik luahannya itu mendapat pelbagai respons di kalangan pengikutnya di Instagram. Ada yang menyokongnya, dan tidak kurang juga ada yang menganggap Diana bersikap kebudak-budakan dan tidak matang.

“Banyak lagi gambar yang lebih elok boleh di’upload untuk promosi filem kamu, gambar pegang tangan suami saya juga nak dikongsi. Oh faham, mungkin itu akan membuat orang teruja untuk tengok filem kamu. Hati oh hati, sabarlah,” luah Diana di Instagramnya.

Bagaimanapun Farid ketika ditemui media Rabu lalu, meminta semua pihak memaafkan isterinya itu.

Farid menambah, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku, namun tidak menolak perasaan cemburu wanita itu menjadi punca kepada kejadian itu.

Dalam pada itu, Nora pula berkata, dia akan lebih berhati-hati untuk bekerjasama dengan mana-mana pelakon lelaki berstatus suami orang agar tidak melukakan mana-mana pihak.

Teruja sambut Ramadan

Dalam pada itu, ditanya persediaannya menyambut Ramadan yang sudah bermula hari ini, Diana berkata, dia bersyukur kerana kebanyakan projek melibatkannya di tangguh sementara waktu.

Katanya, dia akan banyak menghabiskan masa berpuasa di rumah bersama anaknya, Muhammad.

"Kebanyakan projek saya akan bersambung selepas raya. Ada juga tawaran filem tapi saya tak berani untuk berkata lebih lanjut.

"Selain itu, drama lakonan saya, Perempuan Lindungan Kaabah, akan disiarkan di Astro Mustika pada bulan Ramadan ini," katanya.

Tidak menetapkan lokasi tertentu untuk menyambut hari raya tahun ini, Diana berkata, dia dan Farid untuk berjalan ke seluruh Malaysia bagi menyambut perayaan pada tahun ini.

Setahun bersama Lip Ice

Sementara itu, Diana berkata, dia tidak mengambil masa lama untuk bersetuju menjadi jurucakap produk Lip Ice kerana telah menggunakannya sejak zaman remaja.

"Saya sebenarnya sudah menggunakan Lip Ice sejak zaman remaja. Tapi saya tak rasa pihak Lip Ice tahu mengenai perkara itu.

"Tapi bila mereka tawar saya untuk menjadi duta, saya tidak mengambil masa yang lama untuk menerimanya. Alhamdulillah walapun sudah bergelar ibu, rezeki masih ada untuk saya," katanya yang turut menjadi duta L’oreal.
Previous Post Next Post