Diana Danielle Ratu Tiada Komen



DIANA tidak mempunyai rancangan untuk melakukan sambutan ulang tahun secara besar-besaran buat anaknya, Muhammad yang akan berusia setahun pada 2 Julai ini.

HANYA kerana memuat naik status berbaur cemburu di akaun Instagram miliknya, pelakon cantik Diana Danielle dituduh cemburu tidak bertempat.

Pelbagai cemuhan dilemparkan kepadanya kerana status kontroversinya itu turut mengaitkan pelakon Nora Danish yang bergandingan dengan suaminya, Farid Kamil dalam filem Pengantin Malam.

Statusnya itu seperti mempertikaikan tindakan syarikat pengurusan Farid, Metrowealth yang memuat naik sekeping foto Farid berpegangan tangan dengan Nora Danish untuk tujuan promosi filem Pengantin Malam di laman sosial rasmi Metrowealth iaitu MIG Online.

Sejak isu itu hangat diperkatakan, Diana seperti melarikan diri daripada pihak media apabila enggan menjawab sebarang soalan berhubung isu cemburu itu meskipun hadir dalam beberapa majlis hiburan sebelum ini.

Menyelamatkan keadaan, suaminya telah memohon maaf kepada semua pihak yang menerima kesan atas tindakan isterinya itu.

Terbaharu pihak media telah bertemu dengan Diana pada majlis pelantikannya sebagai duta produk Lipice baru-baru ini di Flora Terrace, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun Diana sekali lagi mengambil langkah yang sama iaitu enggan mengulas lanjut isu cemburu itu sebaliknya hanya menyatakan ‘tiada komen, terima kasih.’

Tidak tahu apa yang difikirkan Diana, namun itulah jawapan yang diberikan meskipun berkali-kali pihak media cuba mengajukan soalan. Bahkan pengurusnya iaitu adik iparnya sendiri Fadzil Zahari, terus menghentikan temu bual tersebut.

Mungkin Diana mempunyai alasan yang tersendiri dan percaya langkah itu paling wajar untuk menyelamatkan diri daripada kontroversi yang diciptanya sendiri.


DIANA DANIELLE memilih jalan selamat dengan tidak memberi komen terhadap soalan-soalan yang kurang disenanginya.






ARTISMELETOP!: Apakah komen Diana apabila dikatakan tidak matang kerana cemburu tidak bertempat?

DIANA: Tiada komen.

Apakah yang menyebabkan anda memilih untuk mendiamkan diri daripada memberi sebarang kenyataan, mungkinkah untuk tidak memperbesarkan isu ini?

Tiada komen. Terima kasih.

Bagaimanakah hubungan anda dengan ibu kandung, adakah sudah berbaik?

Tiada komen. Maaf saya tidak akan menjawab soalan berhubung keluarga.

Anak anda, Muhammad akan menginjak usia setahun pada 2 Julai depan, adakah anda akan membuat majlis sambutan hari lahir buatnya?

Mungkin saya akan buat secara kecil-kecilan sahaja. Bagi saya tidak perlu membazir dan dia masih terlalu kecil untuk membuat sambutan secara besar-besaran. Rasanya sambutan bersama keluarga sudah memadai.

Sejak bergelar ibu, adakah anda meletakkan syarat kepada pihak produksi?

Siapa saya untuk letak syarat pada produksi. Selagi penggambaran tidak lama dan tidak berjauhan terlalu lama dengan anak, saya okey. Setakat ini, saya tidak ada sebarang masalah dengan kerja.

Berapa tempoh paling lama anda berjauhan dengan anak?

Paling lama empat hari, waktu itu ada penggambaran di Dubai. Anak saya okey tetapi saya pula yang tidak okey. Namun, disebabkan keluarga mertua, suami dan adik-beradik suami semua datang ke rumah untuk menjaga Muhammad, saya rasa lega. Walaupun ada pembantu rumah, sebagai ibu saya tidak akan memberi sepenuh kepercayaan untuk menjaga anak kepada orang luar.

Adakah anda akan sibuk sepanjang bulan Ramadan ini?

Setakat hari ini belum ada sebarang perancangan. Mungkin akan lebih banyak berehat di rumah sahaja

Perancangan anda untuk sambutan hari raya?

Mungkin saya akan bercuti bersama keluarga dan berjalan satu Malaysia.

Bagaimana reaksi anda apabila dipilih sebagai duta terbaharu produk Lipice?

Memang saya terkejut kerana saya pengguna tegar produk Lipice sejak zaman sekolah lagi. Alhamdulillah, walaupun sudah berstatus isteri, rezeki saya masih ada. Menghormati kepercayaan yang diberikan oleh pihak Lipice, saya akan buat yang terbaik untuk promosi dan menjaga nama produk tersebut.
Previous Post Next Post