Gambar Wanita Dipukul Didakwa Isteri Tersebar, Awie Disiasat Polis



Penyanyi utama kumpulan Wings, Awie atau nama sebenarnya Azhar Othman,45, enggan mengulas lanjut mengenai tiga keping gambar wanita yang tersebar diinternet didakwa sebagai isterinya Rozana Misbun.

Menurut Awie lagi, dia sendiri masih belum melihat gambar-gambar yang disebarkan tersebut.

“Jika benar gambar itu tersebar, saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk sebarang tindakan,” katanya seperti yang dipetik dari Kosmo! Ahad.

Bagaimanapun penyanyi rock terkenal tanah air itu mengakui telah dipanggil pihak polis untuk membantu siasatan mengenai dakwaan dia memukul isterinya baru-baru ini.

Sementara itu akhbar Kosmo! hari ini melaporkan, pihak Polis telah mengesahkan Awie sedang disiasat atas dakwaan sengaja mencederakan isteri sendiri.

Laporan tersebut menyebut, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Mohd. Adnan Abdullah berkata, penyanyi dan juga pelakon yang terkenal menerusi filem Zombie Kampung Pisang itu ditahan sebelum kenyataannya diambil untuk siasatan.

“Awie kemudian dibebaskan dengan ikat jamin, dia kini disiasat kerana disyaki dengan sengaja mendatangkan cedera kepada isterinya,” kata beliau.




Previous Post Next Post