Lisdawati langgar pantang?



WALAUPUN baru dua minggu melahirkan anak ketiganya, dramatis terkenal, Lisdawati sudah dilihat menghadiri satu majlis pelancaran produk kosmetik di ibu kota, baru-baru ini.

Turut hadir bersama bayinya yang diberi nama Ahmad Nur Fyrdaus, nyata kemunculan pelakon Bukan Kerana Aku Tak Cinta itu mengejutkan orang ramai.

Manakan tidak, dia masih dalam tempoh berpantang. Ketika disapa mengenai kehadirannya, isteri kepada aktor dan pengarah, Fauzi Nawawi ini berkata, ia tidak menjadi masalah buatnya.

"Saya masih tidak aktif, cuma saya datang untuk menyokong di atas perjanjian yang dibuat bagi menghadirinya.

"Lagipun, majlis macam ini tidak melibatkan matahari yang terik dan setakat dua hingga tiga jam tidak menjadi masalah," katanya yang menjalani proses kelahiran secara normal di Hospital Selayang.

Menurut Lisdawati, setiap individu mempunyai cara berpantang yang berbeza dan sebelum ini dia sangat menitikberatkan perkara tersebut.

"Kalau ikutkan, mak saya pun larang saya keluar rumah. Tapi saya fikir dah dua minggu, saya keluar saja la. Lagipun selama dua minggu ini, saya mengambil peluang berpantang betul-betul termasuk bertungku.

"Dalam bab makanan pula, saya tak pantang sangat, yang penting mengamalkan pemakanan sihat. Cuma kena elakkan makan makanan sejuk dan gatal. Juga elakkan makanan berlemak dan pedas, kesian pada baby," katanya.






Lisdawati turut berhasrat untuk menurunkan berat badan sebanyak 13 kilogram lagi bagi mencapai berat badan idealnya.

Katanya, semasa mengandung, beratnya naik sehingga 23 kilogram.

Malah dia juga ingin kembali aktif dalam bidang lakonan selepas Aidilfitri nanti.

"Biasanya bulan Ramadan, penggambaran sedikit sahaja, kalau ada rezeki anak tu, Alhamdulillah," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kehadiran orang baharu dalam keluarganya itu, Lisdawati berkata, dia sangat bersyukur kerana dikurniakan anak lelaki. Malah nama Ahmad Nur Fyrdaus itu juga diperoleh ketika menunaikan umrah sebelum ini.

"Ketika berdoa di sana, Abang Fauzi tiba-tiba tersebut nama itu," katanya yang kelihatan makin berseri-seri.

Previous Post Next Post