Mengingati Raja Pop Michael Jackson



Setiap kali tarikh 25 Jun tiba, peminat muzik di seluruh dunia pasti akan teringat keindahan melodi dan lagu penuh makna hasil nukilan Raja Pop, Michael Jackson.

Walaupun sudah lima tahun Michael Jackson meninggal dunia, semangatnya masih segar di ingatan dan hati ramai.

Radio tempatan kini tidak putus-putus memainkan lagu Love Never Felt So Good sejak ia diterbitkan pada 2 Mei lalu.

Dan siapa boleh lupa apabila mainan illusi ataupun hologram Michael Jackson lengkap dengan bala tentera penarinya mempersembahkan Slave to the Rhythm di Billboard Music Awards 2014 bulan lepas. Dan percaya atau tidak, Michael Jackson kini ‘menjelajah’ bersama Cirque Du Soleil yang dinamakan The Immortal World Tour.



Hologram Michael Jackson mempersembahkan Slave to Rhythm di Billboard Music Awards 2014

Michael Jackson sentiasa relevan mengikut peredaran zaman dengan menawarkan lagu-lagu terbaik dan bermakna kepada industri muzik. Begitu juga dengan gerak tarinya yang menghiburkan segenap lapisan masyarakat.

Menarik, Michael Jackson berjaya memikat hati setiap orang dengan barisan lirik yang membawa mesej bermakna seperti We are the World, Heal the World, Man in the Mirror dan banyak lagi.






Percaya atau tidak, setiap seorang dari kita pasti meminati sekurang-kurangnya satu lagu yang pernah dipopularkan oleh Raja Pop ini. Tidak kira apa latar belakang individu itu, lagu Michael Jackson memberikan impak kepada kehidupan seseorang.

Ketua Pengarang Astro Awani Suhaimi Sulaiman berkata walaupun dia bukan seorang peminat Michael Jackson namun lagu-lagu popular penyanyi tersohor itu tidak pernah gagal mengembalikan memori zaman mudanya yang menyeronokkan.

“Saya masih ingat lagi sewaktu muda dahulu, zaman saya sangat, sangat muda. Saya pernah melompat di atas meja dan menari di kelab malam sewaktu saya mula-mula sampai di Amerika Syarikat, di Portland, Oregon untuk melanjutkan pelajaran universiti apabila Don’t Stop till You Get Enough daripada album 'Off the Wall' yang diterbitkan pada tahun 1979 dimainkan. Saya bukanlah seorang peminat Michael Jackson, tetapi waktu itu sangat menyeronokkan dan saya sungguh terhibur”


Don't Stop 'til You Get Enough

Bagi Rizal Zulkapli, Junior Editor di Astro Awani, walaupun dia bukan seorang peminat tegar Michael Jackson namun Raja Pop ini berjaya meninggalkan kesan mendalam dalam dunia hiburan.

“Bagi saya Michael penting dalam menyampaikan mesej yang berbentuk duniawi, isu-isu keamanan, kemanusiaan dan alam semulajadi. Mesej yang disampaikan dalam lagu-lagunya sekitar tahun 80-an dan 90-an turut mengetengahkan mesej yang dunia, pada waktu itu mementingkan wang dan kekayaan”, kata Rizal.

Kata pengarang Astro Awani Zan Azlee Zainal Abidin, lagu-lagu dendangan Raja Pop ini mengajar erti kehidupan sewaktu zaman kanak-kanak.

Bagi DJ muda, Jonathan Charles yang juga bekerja sebagai ko-ordinator acara berkata, “Saya bukanlah peminat setia Michael Jackson tetapi saya membesar dengan lagu-lagunya dan MJ cuba untuk memulihkan dunia dan tentunya dia telah menggegarkan dunia saya!”

Begitu juga bagi peminat setia Michael Jackson. Shuqeera Sufian, graduan Kolej Muzik Berkelee yang kini bekerja untuk Dewan Okestra Filharmonik Malaysia, berkata bahawa sumbangan Michael Jackson kepada dunia muzik dan juga dunianya amatlah bermakna.

“Banyak yang telah disumbangkan oleh Michael Jackson bukan sahaja kepada peminatnya tetapi juga kepada dunia dengan lagu-lagu seperti Man in the Mirror, Heal the World dan banyak lagi. Selain daripada muzik, Michael ialah seorang pejuang hak asasi manusia yang sangat cintakan kanak-kanak dan alam.

Michael Jackson merubah peribadi saya juga melalui muziknya! Saya sentiasa berasa bagaikan saya boleh buat sesuatu untuk merubah masa depan kita dan generasi akan dating hanya dengan mendengar lagunya,” kata Shuqeera.


Heal the World

Setiap perkara mengenai Michael Jackson bagaikan satu kejutan. Caranya melonjak nama di persada dunia senia adalah satu kejutan apabila Michael Jackson muncul buat pertama kali bersama saudara kandungnya ketika bersama dengan kumpulan, The Jackson 5 yang ditubuhkan pada tahun 1964.

Segala sejarah silam, skandal, gossip, mereka yang terdekat dengan Michael Jackson, semuanya membawa kejutan. Begitu juga pada hari Michael Jackson meninggalkan kita semua – amat mengejutkan.

Disebalik kisah-kisah yang mengejutkan yang paling penting ialah Michael Jackson pernah hadir dalam diri dan jiwa setiap insan. Michael Jackson hidup dalam jiwa dengan mesej-mesej indah yang cuba disampaikan dalam memperbaiki keadaan dunia. Dan Michael Jackson akan sentiasa hidup sebegini dalam naluri setiap kita.

Semoga tenang di sana Raja Pop, Michael Joseph Jackson (29 Ogos 1958 – 25 Jun 2009)

Previous Post Next Post