Pawagam mainkan lagu Negaraku sempena kemerdekaan



SEMPENA sambutan kemerdekaan tahun ini, semua pawagam di seluruh negara akan sekali lagi memainkan lagu kebangsaan 'Negaraku' sebelum tayangan filem, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata langkah yang diperkenalkan tahun lepas itu mendapat respons positif pengunjung dan pengusaha pawagam sendiri serta dilihat berjaya menyemai dan memupuk semangat cintakan negara terutama dalam kalangan generasi muda.

"Ia akan diteruskan selama seminggu sebelum 31 Ogos," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan 'Celcom Escape Merdeka Video Contest' di sini hari ini.

Pada 16 Ogos tahun lepas, Ahmad Shabery mencadangkan supaya lagu Negaraku dimainkan sebelum tayangan filem di pawagam seluruh negara sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 negara.






Ahmad Shabery berkata sambutan hari kemerdekaan perlu dilihat sebagai satu acara 'bersama' dan tidak hanya dilabel program yang perlu digerakkan oleh kerajaan semata-mata.

Ahmad Shabery berkata pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan, syarikat korporat serta orang awam sendiri perlu sama-sama mengambil bahagian dalam memupuk, menyemai dan menyemarakkan lagi semangat cintakan negara.

"Kita mahu semua pihak melihat sambutan kemerdekaan ini sebagai satu penjemaan yang perlu dirai dan dijayakan oleh semua lapisan masyarakat tanp perlu tunggu sambutan rasmi anjuran agensi kerajaan," katanya.

Mengambil contoh inisiatif yang dijalankan syarikat telekomunikasi Celcom, Ahmad Shabery berkata usaha itu perlu dicontohi pihak lain untuk memberi nafas baharu terhadap sambutan kemerdekaan setiap tahun.

Pada masa sama, beliau menekankan supaya sambutan kemerdekaan perlu dilihat sebagai satu program yang bersifat berterusan dan tidak hanya tertumpu kepada bulan tertentu iaitu Ogos.

"Sambutan merdeka perlu dilihat sebagai satu movement yang menjadi manifestasi kepada ideologi yang perlu diraikan secara berterusan supaya kitalebih menghargai sejarah kemerdekaan itu sendiri," jelasnya.

Previous Post Next Post