Peguam WFE Ajak Zizan Razak Berbincang



Peguam syarikat Wire Fame Entertaiment Sdn. Bhd (WFE), Sasha Lyna Abdul Latif memberitahu dia bersedia bertemu dengan Zizan Razak sekiranya pelakon dan pelawak terbabit enggan berbincang dengan rakan kongsinya, Marina Juki, bagi menyelesaikan kemelut yang sedang dihadapi mereka ketika ini.

“Sebagai peguam syarikat ini, saya boleh berurusan dengan kedua-dua pihak (Marina & Zizan). Kalau Zizan tak boleh berbincang dengan Marina, dia boleh berjumpa dengan saya. Nasihat saya agar Zizan cepat-cepat selesaikan kemelut ini kerana tindakannya membekukan kedua-dua akaun syarikat amat menyukarkan keadaaan. Syarikat bukan sahaja tidak dapat membuat bayaran kepada artis-artis naungan, tetapi operasi yang lain juga turut terjejas. Seperti pembayaran bil-bil utiliti dan sebagainya,” ujar Sasha Lyna.

Dalam masa yang sama, Sasha juga akan memaklumkan pihaknya telah menghantar surat kepada pihak bank terbabit untuk mendapatkan penjelasan tentang pembekuan akaun bank. Ini kerana Marina telah dimaklumkan pembekuan akaun itu dibuat hanya berdasarkan permintaan lisan daripada Zizan, bukan permohonan secara bertulis. Bagaimanapun, sehingga kini pihak bank masih belum memberi sebarang maklum balas.



Sementara itu, Marina ketika dihubungi ARTISMELETOP sebentar tadi mengesahkan sehingga kini Zizan masih belum menghubunginya untuk berbincang lanjut. Jelas Marina dia sangat-sangat berharap Zizan boleh bersemuka dengannya bagi membincangkan hal dalaman syarikat.






“Saya sudah lama mengenali Zizan. Dulu, susah-senang kami bersama. Tapi apabila jadi macam ini, dia langsung tidak beri peluang kepada saya untuk beri penjelasan. Sejujurnya, semua yang berlaku kini, amat memberi kesan kepada saya. Saya harap orang-orang di luar sana tidak bimbang atau takut untuk berkerjasama dengan saya pada masa akan datang.

Saya mahu kemelut ini diselesaikan secara baik. Saya dan dia kawan baik. Kalau perkara ini sudah selesai nanti, saya harap kami tidak saling memburukkan,” luah Marina sebak.
Previous Post Next Post