Rakan Kongsi Mohon Zizan Jelas Tindakan Beku Akaun & Dakwaan Seleweng Duit Syarikat



Pengarah Urusan Wirefame Entertainment Sdn Bhd (WFE), Marina Juki, meminta rakan kongsinya aktor Zizan Razak agar memberikan penjelasan dan sebab yang munasabah di atas tindakannya membekukan akaun syarikat baru-baru ini.

Mohd Razizan Abd Razak atau Zizan dikatakan telah membekukan dua akaun syarikat WFE pada 4 jun lalu tanpa pengetahuan atau persetujuan Marina sebagai rakan kongsi.

"Saya ke bank pada tarikh yang berkenaan untuk melakukan transaksi cek tetapi dimaklumkan kedua-dua akaun WFE dibekukan.

"Pihak bank terbabit bagaimanapun telah memaklum mereka mendapat arahan daripada Zizan untuk berbuat demikian secara lisan yakni sama sekali melanggar prosedur yang sepatutnya. Sepatutnya sebelum melakukan tindakan itu, Zizan sepatutnya mendapatkan persetujuan saya sebagai rakan kongsi.

"Tindakan tersebut telah menimbulkan kesulitan kepada pengurusan syarikat terutamanya artis dan kakitangan WFE.

“Peguam syarikat WFE sendiri, sudahpun menghantar surat kepada bank berkenaan dan meminta mereka menjelaskan bagaimana tindakan membekukan akaun syarikat boleh dibuat walaupun tanpa persetujuan juga membelakangkan saya sebagai rakan kongsi," katanya turut membuat laporan Polis berhubung hal berkenaan pada 25 Jun di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya.



Marina yang ditemui pada majlis sidang media tergempar di Hotel Holiday Villa Subang Jaya pada Khamis, memberitahu majlis tersebut diadakan untuk membersihkan namanya berhubung permasalahan dalaman WFE selain menjelaskan beberapa isu berbangkit.

Antara tiga perkara utama yang dibangkitkan adalah pertuduhan mengenai penyalahgunaan wang, pengurusan syarikat dan pembekuan akaun syarikat.

Marina mahu Zizan mengemukakan bukti jika benar ada berlaku penyelewengan dalam syarikat sebagaimana desas-desus yang berlegar.

“Ada sumber yang memberitahu saya, Zizan telah mendakwa yang kononnya saya menyalah gunakan wang syarikat. Jika benar ia berlaku, saya minta Zizan kemukakan bukti dan berjumpa dengan saya serta pihak auditor untuk membincangkan hal ini secara terperinci agar ia dapat diselesaikan secara baik," katanya.






Tambahnya lagi, berdasarkan maklumat daripada juruaudit Wire Fame, Azlan Karim setakat ini tiada sebarangan penyelewengan yang berlaku dalam syarikat itu.

"Saya telah dimaklumkan bahawa tiada sebarang penyelewangan telah berlaku di dalam syarikat sama ada daripada pihak saya mahupun Zizan.

Dalam pada itu Marina berharap agar sidang media yang diadakan itu bukan saja dapat membersihkan namanya dan WFE, tetapi juga Zizan dapat mencari masa untuk bertemunya dan menyelesaikan kemelut yang berlaku secepat mungkin.
Previous Post Next Post