Rezeki Ramadan Izzue jual biskut raya



BIARPUN sibuk dengan pelbagai tawaran lakonan dan nyanyian, pemilik nama Izzue Islam kini meluaskan empayar kerjayanya dengan mengusahakan perniagaan biskut raya.

Pelakon Sebenarnya Aku Isteri Dia ini dilihat semakin ligat berniaga apabila mewujudkan jenama biskutnya sendiri, Izzuelicious Delicious Homemade yang turut menggunakan resipi daripada isterinya sendiri, Awin.

Bagi memasarkan jenamanya itu, Izzue turut menyertai satu Festival Bazaar Ramadan Pusat Pemborong GM Klang anjuran bersama Alfafa Green Resources Sdn Bhd, dengan membuka gerai jualan di sana.

Menurutnya, sebanyak 10 jenis biskut raya yang merupakan pilihan dan kegemarannya sendiri dijual kepada pengunjung yang hadir ke festival tersebut.

"Biskut yang dijual dipilih dengan teliti agar saya dapat berkongsi rasa dengan peminat.

"Ia merupakan biskut yang menjadi pilihan saya setiap kali menjelang musim perayaan termasuk Choc Volcana dan Chrunchy Munchy,"ujarnya.

Walaupun tidak dapat meluangkan masa setiap hari di gerainya, Izzue berkata, dia akan turun bertemu peminat sekiranya terdapat waktu lapang.

"InsyaALLAH... saya cuba untuk banyak habiskan masa di sini agar dapat bertemu peminat di Lembah Klang.

"Lagipun ia merupakan percubaan pertama saya untuk menceburi bidang ini. Dan, sekiranya sambutan di luar jangkaan saya merancang untuk terus menjual biskut ini pada masa akan datang," katanya.

Ditanya mengenai penglibatannya bersama Forteen, Izzue berkata, ahli kumpulan sentiasa menyokong usahanya itu biarpun masa bersama mereka agak terhad.

"Kami menyokong kerjaya antara satu sama lain walaupun jarang bersama.

"Forteen tidak akan berpecah sama sekali dan kami masih kekal satu kumpulan," ujarnya yang bakal muncul dengan Aku Isterinya Raya.







Koleksi istimewa DJ Lin

Bagi mereka yang sudah terbiasa mendengar suara lembut menerusi segmen Suria Cinta pasti mengenali DJ Lin daripada stesen radio popular, Suria FM.

Berpengalaman menjual secara atas talian sejak tiga tahun lalu, DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid menjual koleksi cenderahati seperti T-shirt, mug dan cd Suria Cinta di gerainya.

Menurutnya, selain itu dia turut berniaga pelbagai jenis kuih raya termasuk kerepek yang menjadi pilihannya.

Bercerita mengenai pengalamannya berniaga di bulan puasa, DJ Lin berkata ia merupakan kali kedua penglibatannya membuka gerai jualan.

"Sebelum ini saya berniaga di Jalan Tun Abdul Rahman dua tahun lalu. Alhamdulillah sambutan agak menggalakkan.

"Kali ini saya menerima tawaran ini kerana ingin bertemu dengan peminat saya yang berada di Klang dan Shah Alam khususnya," katanya.

Sambungnya, setiap kali menghadiri program keramaian dia jarang dapat turun di kawasan Lembah Klang kerana kebanyakkan aktiviti berpusat di bandar Kuala Lumpur.

"Saya merebut peluang ini untuk turun padang dan akan berada di gerai setiap hujung minggu.

"Peminat dapat bertemu dengan saya pada hari cuti sahaja kerana di hari biasa, saya terikat dengan jadual kerja," katanya.
Previous Post Next Post