Rita Rudaini enggan benar isteri Aidil Zafuan, Zarema Zainal dekati anak



Pelakon Rita Rudaini tidak membenarkan isteri kepada Aidil Zafuan, Zarema Zainal untuk mendekati anak-anaknya.

Menganggap wanita tersebut sebagai punca anak-anaknya kini terputus hubungan dengan Aidil, Rita juga tidak menolak berasa kecewa dengan bekas suaminya kerana mendakwa Aidil langsung tidak pernah menjenguk anak-anaknya selepas berkahwin.

"Orang yang memisahkan anak saya daripada bapa mereka tidak layak pegang anak saya.

"Semua orang tahu apa yang berlaku sewaktu saya masih menjadi isterinya, jadi dia tidak layak untuk bergelar ibu kepada anak-anak saya," katanya ketika ditemui pada Kempen Seindah Ramadan dan Anugerah Syawal TV3 dan TV9, di sini semalam.

Menurut Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar, 38, dia juga difahamkan Zarema sudah menyekat nombornya di dua aplikasi telefon Aidil iaitu WeChat dan WhatsApp.

Memandangkan sebelum ini kedua-dua aplikasi itu digunakan Rita untuk menghubungi Aidil bagi menyampaikan keadaan terkini anak-anak mereka, kini dia dan Aidil tidak lagi dapat berhubung.






"Sebelum ini Aidil yang minta saya memuat turun aplikasi WeChat, katanya senang mahu buat panggilan video dengan anak-anak. Bila saya sudah memuat turun dia sekat pula, jadi saya tanya Aidil dan dia beritahu apa yang berlaku.

“Memang saya sedih, sebelum ini dia (Aidil) sudah berjanji untuk bertanggungjawab dengan anak-anak. Tetapi tetap sama, saya sudah lali dengan janji-janji dia. Memang saya marah setiap kali anak saya tanya mana Daddy mereka, sebab saya yang ajar mereka mengenali siapa Aidil," katanya.

Rita dan Aidil atau Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak, 28, bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008. Bagaimanapun perkahwinan tidak kekal lama dan mereka berdua bercerai pada 5 September tahun lalu.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Airit Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Qaqa Arjuna yang kini berusia dua tahun.

Sementara itu, ditanya soal penglibatan Aidil dalam bidang lakonan, Rita mengakui langsung tidak tahu mengenai perkara tersebut.
Previous Post Next Post