Sam 'rampas' telefon peminat



TERKENAL dengan menyanyikan lagu saduran, Sam mendendangkan beberapa hit dari penyanyi popular dunia sebagai hidangan buat peminatnya.

KEMUNCULAN bakat-bakat baharu daripada platform perkongsian video YouTube sememangnya telah dibuktikan dengan kehadiran beberapa nama seperti Justin Bieber, Greyson Chance dan Cody Simpson. Formula yang digunakan adalah sama - menyanyikan lagu saduran sambil bermain alat muzik dan memuat naik rakaman video berkenaan ke YouTube.

Setelah mula dikenali, bakat-bakat ini terus mencipta nama dengan mengeluarkan single dan juga album penuh termasuklah melakukan persembahan secara langsung menerusi siri konsert jelajah. Bagaimanapun, ada sesetengah daripada mereka lebih popular dengan lagu-lagu saduran. Antaranya ialah Sam Tsui dan Kurt Hugo Schneider.






Baru-baru ini, bertempat di KL Live, Life Center, Kuala Lumpur, kedua-dua sensasi YouTube itu berjaya menghiburkan hampir 2,000 peminat mereka menerusi konsert Sam and Kurt 2014 Asia Tour.

Memulakan persembahan dengan mashup Timber dan Counting Star, tenaga yang ditampilkan oleh Sam atau nama sebenarnya Samuel Tsui mencetus ledakan adrenalin para penonton sehingga membuatkan mereka ikut menyanyi dan menari bersama.

“Terima kasih,” ucapnya dalam bahasa Melayu selepas tamat melantunkan lagu yang pernah dipopularkan oleh Kesha dan OneRepublic itu.
Tawaran Yang Sukar Dilepaskan!

Peminat bagaikan diserang histeria apabila Kurt membaling beberapa helai poster dan sehelai kemeja-T yang telah ditanda tangan oleh duo yang berasal dari Pennsylvania, Amerika Syarikat itu.

Sebelum mendendangkan lagu Love and Us, Sam memberitahu yang dia begitu menghargai sokongan yang diberikan kepada peminat sejak awal kemunculannya di YouTube.

“Saya hanya seorang pelajar kolej yang suka muzik. Sejak bermula, banyak pengalaman yang saya perolehi. Ini semua disebabkan oleh sokongan anda semua. Terima kasih,” ucapnya penuh makna.

Dalam pada itu, Sam turut menyanyikan lagu-lagu saduran popularnya secara rantaian. Antaranya ialah Hold It Against Me yang dinyanyikan oleh Britney Spears, Grenade (Bruno Mars) dan The Cup Song yang turut menampilkan dua buah cawan sebagai prop.

Tidak ketinggalan, Sam turut ‘merampas’ telefon pintar milik salah seorang peminat bertuah yang berdiri di tepi pentas lalu merakamkan selfie secara video.

Selain itu, dia turut merakamkan selfie dengan menggunakan telefon bimbitnya sambil dilatari oleh penonton yang membanjiri KL Live pada malam itu.
Previous Post Next Post