Aeril ikut Wawa beraya di Sabah



AERIL yang sudah kehilangan kedua ibu bapanya kini menumpang kasih dengan keluarga Wawa.

PERTAMA kali melihat keserasian pasangan ini, jelas terpancar sinar kebahagiaan daripada raut wajah mereka. Mahligai yang dibina selama tiga tahun kini lebih bermakna dengan kehadiran orang baharu dalam hidup mereka pada tahun ini.

Kehadiran Attar atau nama sebenarnya Ahmad Fakhruddin Attar ternyata memberi semangat baharu dalam hidup mereka. Lebaran kali ini juga menjadi cukup bermakna apabila pasangan tersebut mengaku teruja melakukan persiapan raya buat putera sulung mereka, pada Ramadan lalu.

Sinar baharu tersebut juga sekali gus membuka hati Aeril untuk pulang ke kampung halaman isterinya.

Hal ini ternyata hal yang besar buat Aeril kerana ia merupakan kali pertama lelaki kelahiran Kluang, Johor itu pulang beraya di kampung isterinya di Sabah.

"Saya mengambil keputusan untuk pulang berhari raya di Kota Kinabalu, Sabah memandangkan keluarga Wawa masih belum melihat Attar. Saya juga masih belum berpeluang untuk beraya di sana kerana tahun sebelum ini saya sibuk dengan penggambaran.

"Kami pulang pada hari raya ketiga, dan kami ingin raya pada tahun ini menjadi hari raya yang paling istimewa buat kami bertiga. Saya juga tidak sabar untuk merasa suasana kali pertama beraya di Sabah," katanya.

Wawa yang teruja dapat berhari raya di kampung halamannya berkata, dia ingin Aeril merasakan kemeriahan beraya di sana terutamanya makanan yang jarang ditemui di Semenanjung.

"Saya ingin Aeril merasakan masakan yang agak jarang ditemui di Semenanjung antaranya rumpai laut (agar), bakso, soto dan ketupat. ia merupakan resipi daripada keluarga saya yang berketurunan Brunei.

"Di sana juga masih mengamalkan adat kampung dan kunjung-mengunjungi antara jiran. Jadi saya mahu Aeril rasa suasana sebegitu," katanya.

Kenangan

Bercerita mengenai kenangan bersama keluarga, Aeril mengakui, dia sangat merindui tonggak utama dalam keluarga sejak bapanya, Suhari Sulaiman pulang ke pangkuan Ilahi pada 4 Disember 2009 akibat barah tekak.

Sementelah dia juga telah kehilangan ibunya, Supiah Munahid yang meninggal dunia pada November 2010, sekali gus membuatkan perasaan berhari raya tanpa orang tua menjadi sayu.

Aeril berkata, dia kini terlalu mendambakan kasih kedua ibu bapanya. Baginya, ketiadaan mereka sememangnya tiada pengganti walaupun masih mempunyai mertua.

"Saya rindukan kenangan bersama mereka. Walaupun kehidupan kami ringkas tetapi kebahagiaan ketika bersama mereka sememangnya tiada ganti. Saya amat merindui mereka," akuinya.

Bercerita dengan lebih lanjut mengenai pengalaman beraya, Aeril berkata, tidak banyak yang boleh diceritakan memandangkan ibu bapanya telah pergi menghadapi Illahi. Hanya Wawa dan anak menjadi penyeri kehidupannya.

"Tidak banyak yang boleh dikongsikan memandangkan kehidupan kami beraya ringkas sahaja. Lagipun saya sudah biasa beraya di Kuala Lumpur dan rutinnya sama sahaja. Bagaimanapun bagi saya, menziarah rakan dan saudara terdekat sudah menjadi kewajipan," ujarnya.

Mengakui dirinya anak paling rapat dengan arwah ibu sehingga diberi gelaran Yayang oleh ibunya, Ramadan langsung tidak menarik minatnya untuk pulang ke kampung di Kluang, Johor.

Bukan lupa asal-usul, tetapi anak keempat daripada lima beradik ini enggan dibelenggu kesedihan yang masih bersisa atas pemergian ibu yang melahirkannya, dan kerana itulah dia memutuskan tidak pulang ke kampung pada hari raya ini.

"Banyak kenangan manis bersama arwah orang tua saya terutama ibu. Dahulu setiap kali Ramadan saya pasti pulang ke kampung. Tetapi sejak emak sudah tiada, rasanya tidak payah balik pun tak apa kerana ia akan membuatkan saya semakin sedih teringatkannya.

"Apatah lagi, jika dahulu kepulangan saya setiap kali Ramadan pasti disambut emak dengan hidangan istimewa seperti asam pedas ikan mayong yang menjadi kegemaran sejak kecil, tetapi itu semua tiada lagi," katanya.

Perkembangan seni

Mengulas mengenai perkembangan seninya, Aeril berkata, dia kini baru sahaja selesai menjalani penggambaran telemovie Lambaian Kerinduan yang dijangka akan ditayangkan pada Aidiladha nanti.

Bercuti


PASANGAN ini sepakat untuk tidak mendedahkan anak mereka, Attar kepada media dan umum kerana beranggapan usia 10 bulan masih terlalu kecil untuk dibawa ke dalam dunia seni mereka.

Bagaimanapun, pelakon bermata redup dan kacak ini berkata, dia dan isterinya menjadikan bulan Ramadan dan Syawal ini sebagai masa yang terbaik untuk merehatkan diri daripada bidang seni dan menumpukan sepenuh perhatiannya kepada keluarga dan ibadah.

"Saya lebih senang untuk meluangkan masa bersama keluarga memandangkan hanya inilah masa yang terbaik untuk kami mengeratkan lagi ikatan bersama," tuturnya.

Dalam pada itu, Aeril kini juga sedang sibuk menguruskan perniagaannya dalam bidang produksi dan pengurusan acara yang dikenali sebagai Expected dan Patriot Sdn. Bhd. Walaupun mengakui masih lagi bertatih dalam bidang perniagaan, Aeril berkata, perniagaan merupakan pilihannya seandainya sudah tidak lagi bergiat aktif dalam bidang perniagaan.

"Saya harap perniagaan ini mampu menjadi salah satu pilihan saya sekiranya saya mengundur diri daripada bidang seni kelak. Namun, buat masa sekarang, saya masih belum terfikir untuk berhenti berlakon.

"Saya akan terus bergiat aktif dalam bidang ini selagi saya masih menerima tawaran dan Alhamdulillah, tawaran yang diterima buat masa sekarang masih lagi memberangsangkan," katanya yang mengidamkan watak biografi seorang tokoh.

Lain pula bagi isterinya, Wawa yang kini sibuk menjadi duta pakaian dan beberapa produk rangkaian kecantikan berkata, dia kini akan membataskan tawaran lakonan yang diterimanya.

"Saya mahu Attar membesar dengan saya berada di sisinya. Saya mahu membesarkan dan menumpukan sepenuh perhatian kepadanya supaya dia dapat membesar dengan sempurna.

"Tetapi, jika watak yang sesuai dengan diri, saya masih mempertimbangkan untuk menerima tawaran lakonan tersebut," katanya yang menjadikan naskhah-naskhah drama Korea dan Hindustan sebagai rujukan lakonannya.


SUDAH memiliki Attar, sambutan raya Aeril dan Wawa lebih tertumpu buat anak kesayangan mereka itu.

Berbincang mengenai perancangan menjelang akhir tahun ini, pasangan ini merancang untuk menghabiskan masa terluang dengan bercuti ke beberapa negara Eropah.

Aeril yang bercadang untuk membawa isteri dan Attar meneroka lima buah negara termasuk Australia, Perancis dan Jerman berkata, ia merupakan hadiah untuk perkahwinan mereka.

"Setelah berhempas-pulas menjalani jadual penggambaran yang begitu padat, saya bercadang untuk membawa mereka bercuti menjelang Ogos nanti.

"Saya dan isteri mengambil kata sepakat memandangkan sudah lama tidak bercuti dan menghabiskan masa bersama anak tersayang," katanya yang merancang untuk memperolehi anak perempuan pula pada masa akan datang.

Namun demikian, ia masih lagi dalam perancangan dan kami berharap ia dapat berjalan dengan lancar kerana Wawa terlalu menginginkan suasana di negara empat musim.




Previous Post Next Post