Ana Raffali syukur dengan kehamilan


Ana Raffali

SETELAH lebih kurang dua tahun mendirikan rumah tangga, akhirnya penyanyi yang pernah dinobatkan sebagai pemenang Juara Lagu ke-25 (AJL25), Ana Raffali bakal menimang cahaya mata.

Kehamilan itu telah disahkan sendiri oleh Ana menerusi laman Facebook miliknya, kelmarin.

Mengulas lebih lanjut mengenai berita gembira itu, isteri kepada Ahmad Aznaim Abdullah atau Naim memberitahu dia mula menyedari kehamilannya ketika minggu ke dua Ramadan.

“Sebenarnya saya mula rasa badan tidak selesa sejak awal Ramadan dan disebabkan rasa itu tidak berkurangan, saya cuba buat ujian kehamilan menggunakan alat uji kehamilan di rumah.

“Alhamdulillah, hasilnya positif. Memang pada awalnya kami berdua agak-ragu-ragu namun perasaan itu hilang selepas abang saya yang juga seorang doktor turut mengesahkannya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Tambah Ana, sepanjang tujuh minggu hamil, dia akui tidak mengalami sebarang alahan yang kritikal.

“Dalam waktu kehamilan ini, saya belum ada alahan yang teruk. Cuma sekarang saya tidak boleh menghidu bau yang terlalu kuat sebab ia buat saya rasa tidak selesa.

“Selain itu ada kalanya saya tidak larat untuk berpuasa kerana bila perut kosong saya akan rasa mual.

“Dari segi kesihatan pula, saya sekarang mengalami demam mungkin jangkitan daripada sekeliling, tapi saya memang tidak ambil sebarang ubat-ubatan kerana takut beri kesan pada kandungan,” ujarnya.

Ana dan Naim diijabkabulkan di di Masjid Al-Hidayah, Gombak pada 25 Februari 2012.


Amal buah-buahan

Pada masa yang sama, Ana akui sepanjang waktu menantikan berita gembira itu dia tidak menjalani sebarang rawatan kesuburan untuk hamil.

“Sebenarnya saya dan suami menyerahkan soal ini sepenuhnya kepada ALLAH. Kami percaya, Dia akan beri rezeki dalam apa jua cara. Dalam penantian ini, saya tidak melakukan sebarang rawatan cuma kami ambil berat penjagaan pemakanan di mana
kami banyak amalkan pengambilan buah-buahan.

“Lagi pun saya suka membaca dan banyak informasi yang saya dapat menerusi buku-buku kesihatan,” kongsinya yang turut berserah mengenai jantina kandungannya.




Previous Post Next Post